Wednesday, February 23, 2011

JPUNS tidak setuju tempoh kempen disingkatkan



Jawatankuasa Penaja UMNO Negeri Sarawak (JPUNS) tidak setuju tempoh kempen pilihan raya negeri kelak disingkatkan tujuh hari.

Pengerusinya, Affendi Jeman berkata kempen merupakan tempoh bagi mereka yang bertanding menyampaikan mesej dan perjuangan mereka kepada para pengundi untuk dinilai ketika memangkah undi. Justeru, tempoh yang benar-benar sesuai adalah perlu.

Katanya, keluasan geografi Sarawak juga wajar dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Faktor tersebut menyebabkan parti politik memerlukan masa yang lebih lama untuk berkempen.

“Rakyat semakin berinformasi dan bijak, seharusnya masa berkempen biarlah manasabah untuk parti-parti politik memberi penerangan asas perjuangan dan manifesto masing-masing,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof.

Fadillah mengesyorkan agar SPR memberi tempoh kempen tujuh hari agar tidak wujud kekecohan sepanjang proses tersebut.

Sunday, February 20, 2011

Rayuan Terbuka Untuk Datuk Seri Najib Tun Razak



Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia Presiden Parti UMNO Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak,

Kami amat terkejut dan rasa terlalu sedih apabila membawa kenyataan Datuk Seri dalam BERNAMA pada tarikh 19 Januari 2011 yang menggambarkan Datuk Seri menyokong kepimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Sarawak.
Ketika Datuk Seri diminta untuk mengulas kenyataan Ketua Menteri  Sarawak yang mengatakan komuniti Cina perlu mempunyai jumlah wakil rakyat yang banyak yang menjadikan suara komuniti Cina kedengaran dengan nyaring dalam Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Seri dilaporkan berkata: “Maka, apabila kita membentuk kerajaan negeri, insya-Allah, selepas pilihanraya, ianya adalah penting untuk kerajaan BN untuk mendapatkan penglibatan wakil rakyat dari komuniti Cina. Oleh sebab itu Pehin Seri (Abdul Taib) membuat kenyataan tersebut, untuk mengelak hanya sebilangan kecil wakil Cina apabila kita (BN) membentuk kerajaan.”

Kami tertanya-tanya sama ada Datuk Seri ada membaca laporan-laporan bertulis mengenai situasi politik Sarawak yang telah diberikan kepada Datuk Seri oleh Setiausaha Politik Datuk Seri, Datuk Shafiee Abdullah.

Sekiranya Datuk Seri ada membaca dan faham dengan sejelas-jelasnya intipati laporan-laporan bertulis tersebut, adalah mustahil untuk Datuk Seri membuat kenyataan menggambarkan sokongan terhadap Ketua Menteri Sarawak.

Adakah perlu kami mengingatkan Datuk Seri bahawa Datuk Shafie Abdullah telah melaporkan secara bertulis bahawa Ketua Menteri Sarawak tidak lagi popular di Sarawak?



Dengan jelas telah dinyatakan oleh Datuk Shafie Abdullah bahawa Ketua Menteri Sarawak bukan sahaja tidak popular di dalam bandar tetapi juga di luar bandar.

Sekiranya Datuk Seri ada bertanya kenalan rapat Datuk Seri dari Sarawak, sudah pasti Datuk Seri mendapat kepastian kebenaran keatas laporan-laporan bertulis tersebut.

Pada masa yang sama Datuk Seri juga dapat memastikan kebenaran laporan dari Datuk Shafie Abdullah yang menegaskan isu tanah di luar bandar menyebabkan Ketua Menteri Sarawak tidak popular dikalangan rakyat.

Disebabkan Ketua Menteri Sarawak tidak lagi popular, beliau merupakan satu liabiliti kepada Barisan Nasional Sarawak.

Maka tidak wajar untuk Datuk Seri membayangkan sokongan kepada beliau dengan menggesa masyarakat Cina agar berdiri di belakang Barisan Nasional Sarawak yang diketuai oleh Ketua Menteri Sarawak.

Umum mengetahui bahawa masyarakat Cina tidak menaruh sebarang keyakinan ke atas kepimpinan beliau.

Kekalahan SUPP kepada DAP dan juga PKR dalam pilihanraya negeri dan umum lepas amat jelas menggambarkan kejelekkan masyarakat Cina terhadap Ketua Menteri Sarawak.

Kegagalan Barisan Nasional mempertahankan kerusi Sibu dalam pilihanraya kecil yang lepas juga disebabkan faktor kebencian yang membuak-buak terhadap Ketua Menteri Sarawak dikalangan masyarakat Cina.



Datuk Shafie Abdullah juga telah mencatatkan hal ini dengan jelas dalam laporan bertulis yang telah diberikan kepada Datuk Seri.

Setiausaha Politik Datuk Seri juga telah memaklumkan secara bertulis kepada Datuk Seri bahawa rata-rata masyarakat Melayu mahukan Ketua Menteri Sarawak, yang berketurunan Melanau, berundur dengan segera.


Masyarakat Melayu sudah muak dengan Ketua Menteri Sarawak yang hanya tahu menjaga kepentingan kaum Melanau sahaja dan meminggirkan kaum Melayu.

Datuk Shafie Abdullah juga telah menjelaskan kepada Dato' Sri dalam laporan-laporan beliau bahawa Ketua Menteri Sarawak tidak menyokong syarikat-syarikat milik Melayu seperti Shorefield, Javel Engineering dan OBYU Holdings untuk mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan.

Sebagai Ketua Menteri Sarawak, beliau sepatutnya berusaha untuk membantu syarikat-syarikat milik Melayu dan bukannya bertindak sebaliknya.

Bahkan telah banyak tuduhan-tuduhan nepotism yang telah dilemparkan kepada Ketua Menteri Sarawak terdapat dalam internet yang benar belaka terutamanya dalam Sarawak Report.

Beliau turut membuat laporan secara bertulis tentang masalah alam sekitar yang berlaku di Sarawak disebabkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional dibawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak sekarang.

Bagi pihak para penyokong setia UMNO di negeri Sarawak, kami merayu Datuk Seri meluangkan masa untuk meneliti laporan-laporan bertulis yang disediakan oleh Datuk Shafie Abdullah yang menggambarkan situasi politik yang sebenar di Sarawak.

Sekiranya Datuk Seri ada membaca laporan-laporan bertulis ini, sudah tentu Datuk Seri tidak akan membuat kesilapan dengan memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sarawak yang merupakan liabiliti kepada Kerajaan Barisan Nasional yang mana UMNO berperanan sebagai parti tulang belakang.


Hidup UMNO !


Sekian. Terima kasih.

Friday, February 18, 2011

Ripin yang berwawasan

Dia bukan sekadar umpama Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, tetapi kerana wawasan dan pandangan jauhnya, Ripin Lamat sebenarnya umpama wakil rakyat.


Aktif dalam membantu rakyat di kawasannya dan menjadi mata-telinga Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kawasannya, sudah pasti dia mulia budi pekerti.

Dilantik menjadi Setiausaha Politik pada 7 Mei 2009, dia yang berusia 41 tahun sebenarnya mempunyai asas yang kukuh untuk menceburi karier politik.

Pehin Sri Taib pastinya telah memilih setiausaha politik yang tepat kerana mempunyai wawasan sejajar dengan agenda Politik Pembangunan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Ripin berupaya dicalonkan sebagai wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri kelak apabila 'senior-seniornya' di kawasan tersebut berundur.

Dia, ahli jawatankuasa Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), bijak dalam mengetengahkan peranan atau Barisan Nasional (BN).

Ripin yang dilahirkan dalam keluarga keturunan Kedayan berasal dari Kampung Tiris, Bekenu, Miri.


Pemegang Diploma Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (dahulu Universiti Pertanian Malaysia) pada 1994, Ripin bekerjasama rapat dengan pucuk pimpinan Pemuda PBB.

Ini adalah untuk memastikan perancangan dan agenda parti, terutama Pemuda PBB, sampai ke peringkat akar umbi. Dalam konteks ini, amat bertuah Pemuda PBB memiliki ahli jawatankuasa yang sedemikian rupa.

Ucapan penghargaan terhadap Pehin Sri Taib ketika mula-mula dilantik sebagai Setiausaha Politik satu ketika dahulu nampaknya diabadikan Ripin dalam bentuk tindakan.

Iltizam untuk memberi perkhidmatan terbaik sama ada kepada BN dan juga rakyat Sarawak nampaknya tidak sia-sia.

Dia ketika dilantik dipetik sebagai berkata:

"Pelantikan ini tidak akan menjejaskan tugas saya sebagai wakil rakyat dan akan terus berbakti kepada masyarakat di kawasan saya."

"Dulu sebagai rakyat, saya mengharapkan pemimpin yang dilantik membantu rakyat dan kini apabila menjadi pemimpin kita memahami keperluan rakyat dan kita akan bersama mereka pada masa susah dan senang," katanya.

Monday, February 14, 2011

BN tiada masalah takluk semula Merlimau

(Komen menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau)

Selain faktor calon, empat resipi bakal menentukan kemenangan calon BN untuk meraih semula sokongan majoriti para pengundi DUN Merlimau, Melaka pada pengundian 6 Mac ini nanti jika parti-parti lain turut meletakkan wakil pada hari penamaan calon, 26 Februari ini.

Resepi terdiri daripada 'cukup bersedia', 'usaha gigih', 'semangat juang tinggi' dan 'sokongan padu semua kaum', bukan sekadar mengekalkan kemenangan tetapi dikatakan mampu meningkatkan majoriti undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, akibat serangan jantung.

Allahyarham yang meninggal dunia pada 19 Jan lepas, pada pilihan raya umum 2008, menewaskan calon Pas, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Apa yang pasti, kerusi DUN Merlimau tidak pernah dikuasai oleh pembangkang sejak merdeka lagi. Ini mengukuhkan jangkaan bahawa angin perubahan rakyat di kawasan tersebut agak mustahil untuk berlaku menerusi pilihan raya terbabit.



Rakyat di DUN Merlimau cukup yakin dengan keupayaan wakil rakyat Umno memimpin mereka ke arah kemajuan menerusi kesinambungan pembangunan.

Bukan mendapat sokongan di kalangan pengundi Melayu semata-mata, calon Umno turut diterima baik oleh pengundi Cina dan India. Sekali gus ia mempamerkan kepercayaan kaum-kaum lain terhadap Umno.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau merupakan yang ke-15 diadakan selepas Pilihan Raya Umum 2008.



Sementara itu, momentum kemenangan BN ketika pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari lepas perlu dikekalkan.

Calon BN di Tenang Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti 3,707 undi - menewaskan calon Pas, Normala Sudirman.

Kini tumpuan politik tanah air sedikit-sebanyak berkisar dengan siapa calon BN di Merlimau. Tarikh pengumuman calon belum lagi dipastikan.

Ketua Menteri Melaka yang dilantik menjadi pengarah pilihan raya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, semua bakal calon akan ditapis agar menjamin kemenangan BN.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam), Mohamed Nasser Selamat.

Nasser, 46, merupakan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan anak jati Merlimau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA) dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat.

Enam lagi calon yang turut disenaraikan ialah Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd. Said Yusof serta dua Ahli Jawatankuasa bahagian iaitu Abdul Nasir Bazid dan Roslan Datuk Ahmad.

Tiga lagi calon lain ialah Ketua Wanita bahagian, Zaleha Bujang; Ketua Pemuda, Zaidi Atan dan Ketua Puteri, Siti Faezah Datuk Aziz.

BN dijangka akan bertanding menentang calon Pas. Calon Pas akan diumumkan pada 24 Februari ini.

Friday, February 11, 2011

Syabas Datuk Shafie Abdullah !!!!!!!!!


Syabas Datuk Shafie Abdullah. Syabas kerana berjaya menjalankan tugas dengan baiknya sebagai Setiausaha Politik kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah beliau memang terkenal dengan keupayaan menyelesaikan atau memulakan sesuatu rundingan.

Dahulu beliau dituduh mencampuri urusan Parlimen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Sedangkan tuduhan itu tidak berasas kerana beliau sekadar melaksanakan tugas demi 'bos'nya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebuah blog milik seorang wakil rakyat DAP ada menyentuh perihal Shafie tetapi bukan artikel yang memburukkan beliau tetapi komen-komen dari pembaca!

Beliau adalah seorang Setiausaha Politik berpandangan yang prihatin dengan situasi politik Sarawak.

Pada tahun lepas Shafie sering melawat Sarawak untuk meninjau keperluan rakyat. Antara tempat yang pernah dikunjungi beliau ialah kawasan Parlimen Tanjung Manis dan Parlimen Lawas.

Beliau seorang yang prihatin dengan permasalahan rakyat Sarawak. Sebagai seorang yang berjiwa rakyat, beliau sangup turun padang menemui rakyat Sarawak walaupun hanya memegang jawatan Setiausaha Politik.

Dari hasil kunjungan atau lawatan ke Sarawak selama ini, Shafie berjaya meyakinkan Najib untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri bagi tujuan untuk mengesahkan sendiri fakta-fakta yang dikumpul oleh beliau (Shafie) ketika membuat lawatan-lawatan tidak rasmi ke kawasan-kawasan di Sarawak.

Keprihatinan Shafie terhadap Sarawak amatlah dihargai kerana beliau menunjukkan kesediaan untuk membantu Barisan Nasional Sarawak untuk mengekalkan kerajaan Barisan Nasional di negeri tercinta ini.

Semenanjung dan Sabah sudah menikmati kemakmuran ekonomi di bawah pemerintahan BN, dimana Umno adalah tulang belakang kerajaan negeri, mengapa pula warga Sarawak dinafikan hak untuk menerima pembangunan yang sama?

Kenyataan 'ramai seperti Hosni Mubarak', Anwar rujuk kepada diri sendiri

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ramai individu seperti Hosni Mubarak wujud di Malaysia sebenarnya merujuk kepada dirinya sendiri.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, ini kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipercayai mempunyai kekayaan yang hampir setara dengan Presiden Mesir tersebut.

Katanya, jika Hosni yang kini berkemungkinan bakal digulingkan oleh rakyatnya mempunyai kekayaan AS$70 bilion (RM213.192 bilion), Anwar pun tidak kurang mewahnya.

"Saya ingin bertanya berapa nilai harta yang dimiliki Anwar sekarang sehingga beliau boleh ke luar negara dua hingga tiga kali sebulan selain, mampu membayar yuran guaman kepada Karpal Singh.

"Kalau proksinya sewaktu bergelar Menteri Kewangan dulu, terutama mereka yang digelar 'empat budak hitam' mempunyai kekayaan sehingga tujuh keturunan, cuba bayangkan harta Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas dakwaan Anwar sewaktu berucap di Amerika Syarikat minggu ini bahawa ramai individu seperti Hosni di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mencabar ketua pembangkang tersebut mengisytiharkan kekayaan yang dimiliki serta kos guaman terhadap Karpal jika merasakan perkara itu tidak benar.

"Rakyat Malaysia nak tahu berapa kekayaan dia kerana selepas tidak berada dalam kerajaan sekian lama pun Anwar mampu menjalani kehidupan yang mewah," katanya.

Tuesday, February 8, 2011

Hebat sangatkah Nazib, hingga cabar Fadillah debat!

Siapa Ahmad Nazib Johari? Usahkan satu Sarawak mengenal dia, majoriti warga bandar raya Kuching pun pasti tidak tahu dengan kewujudan Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat Negeri itu.

Dia bukannya wakil rakyat, bukan juga menteri atau timbalan menteri, tetapi tiba-tiba budak mentah dalam politik itu mengajak Datuk Fadillah Yusof berdebat 'lah pulak'.

Ilmu belum penuh didada, Ketua Pemuda PBB pula mahu direndahkannya martabat untuk berdebat dengan dia.

"Nazib, bagus lu balik rumah kasi cermin itu muka. Ada hensem kalu, boleh cabar Fadillah berdebat."

Kepala PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Semenanjung ajak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat, si Nazib pun ada hati nak tiru strategi cabar debat.

"Encik Nazib, ini bukan zaman sekolah lagi dah tau. Tidak ada pertandingan bahas antara kelas lagi dah kalau dah tua bangka."

Debat yang dicadangkan oleh Nazib kononnya ingin menyelesaikan beberapa isu berhubung pemuda atau belia di negeri ini.

Fadillah pula setakat ini tidak memberi respon terhadap cabaran tersebut. Kalau saya di tempat Fadillah pun tidak akan menyahut seruan tersebut.

Apa guna berdebat dengan budak mentah, apatah lagi dengan PKR. Apa yang dapat diselesaikan menerusi perbahasan demikian?

Fadillah merupakan pemimpin belia yang unggul di Sarawak dan mungkin juga di peringkat kebangsaan.

Apabila memasuki dua penggal menjadi Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan negeri dan persekutuan agar menjadi timbalan menteri dalam kabinet persekutuan.

Tidakkah itu merupakan satu kebanggaan yang jarang dapat dikecapi oleh semua ahli politik baru dan muda seumpama Fadillah?

Saya sanggup meletak taruhan bahawa Nazib tidak mampu menjawab apabila diajukan Fadillah soalan berkisar tentang apa sumbangan PKR terhadap pembangunan belia.

Kalau setakat mencarut dan mengkritik apa yang cuba dibawa Fadillah menerusi kepimpinannya dari aspek belia di negeri ini, saya rasa tidak perlu Nazib terpekik-terlolong meminta Fadillah menyahut cabaran bahas.

Keunggulan Fadillah dalam sayap Pemuda PBB belum dapat digugat setakat ini. Majoriti ahli-ahli Pemuda PBB menyokong kepimpinannya. Pada tahun lepas, dalam Perhimpunan Agung PBB, Fadillah mengekalkan jawatan Ketua Pemuda tanpa bertanding.

Apakah itu tidak cukup untuk membuktikan dia seorang yang berkarisma dan mempunyai perancangan rapi terhadap pembangunan belia?


Sunday, February 6, 2011

MENGAPA MASUK PKR ATAU SNAP? SEDANGKAN ADA UMNO!


Kecewa dengan perjuangan PBB, SUPP, SPDP atau PRS? Atau belum menyertai mana-mana parti komponen BN?

Umno merupakan parti yang tepat sebagai landasan baru politik. Bukan sahaja untuk Melayu dan Melanau, tetapi juga untuk Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Rakyat Bumiputera boleh menjadi ahli Umno sejak perlembagaannya dipinda bagi membolehkan parti terbesar dalam BN itu memasuki Sabah pada 1991.

Umno merupakan landasan terbaik politik untuk menyatukan Bumiputera di Sarawak di bawah bumbung parti politik yang kukuh seperti Umno.

Adalah satu kesilapan besar dalam karier politik apabila memilih untuk keluar dari mana-mana parti komponen BN di Sarawak dan seterusnya menyertai PKR, DAP dan SNAP.

Apa yang parti-parti pembangkang mampu lakukan? Mereka sebagai parti bukan pemerintah dalam Parlimen Malaysia, hanya mampu mengkritik dan mengulas dasar kerajaan.

Thursday, February 3, 2011

UMNO adalah faktor penstabil politik Sarawak

Hidup UMNO !!!

Pemimpin-pemimpin BN Sarawak sering mengaku tidak ada satu pun komponen BN yang mampu memerintah Bumi Kenyalang sendirian.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak mempunyai kekuatan tunggal dalam mentadbir kerajaan negeri.

PBB agak 'keBumiputeraan', SUPP diketahui 'keCinaan', SPDP dan PRS sudah pasti 'keIbanan'. Apa yang menarik, tiga parti kecuali PBB enggan mengaku parti mereka berlandaskan perkauman. PBB sekadar menghimpunkan Bumiputera, sesuai dengan nama mereka.

Dahulu pernah terdengar kononnya SPDP dan PRS akan bergabung - menjadikannya sebuah parti komponen yang kuat dan mempunyai komposisi ahli berketurunan Iban teramai - mungkin mengugat kedudukan SUPP dalam hiraki BN Sarawak.

Kini bagaimanapun usaha tersebut semakin luput dan kian pudar perbincangan di akhbar.

Buat masa ini politik Sarawak tidak dinafikan stabil di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. 

Tetapi ini mungkin berubah sekiranya ramai lagi pemimpin BN mengambil keputusan untuk mengikuti tindakan bekas Ketua Penerangan PRS Tedewin Ngumbang yang menyalahkan ketua menteri kerana membuli komponen parti BN Sarawak.

Kemungkinan besar perkara ini akan menyebabkan PBB, SUPP, SPDP dan PRS akan bertelagah sesama mereka sendiri dan seterusnya memerlukan satu parti lain (Umno) untuk menstabilkan kekacauan politik Sarawak.

Umno sering dianggap parti luar oleh rakyat Sarawak. Kedudukan tersebut sebenarnya mewujudkan perasaan hormat di kalangan orang tempatan.