Saturday, April 21, 2012

Sandiwara politik pembangkang - Fadillah Yusuf



by Agnes Tugong. Posted on April 8, 2012, Sunday
BERSIH 3.0 tidak perlu, cuma mengotorkan imej negeri, kata Fadillah

KENANGAN: Fadillah merakamkan gambar kenangan bersama belia dan peserta yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Sri Keranji 2012 di Kuching semalam.
KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan supaya tidak terpedaya dengan mainan politik pembangkang untuk mengadakan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini di Padang Merdeka di sini.
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Fadillah Yusuf berkata, jika mereka ikhlas dalam perjuangan, maka mereka tidak akan meneruskan perhimpunan tersebut.
Ini kerana, menurut Fadillah, memang nampak dan nyata strategi mereka adalah untuk mengadakan lebih kepada demonstrasi jalanan bagi membangkitkan kemarahan dalam kalangan rakyat.
Justeru tegasnya, jika mereka benar-benar ikhlas untuk menambah baik sistem pilihan raya negeri dan negara, maka tidak perlu diadakan demostrasi seumpama itu.
“Masih banyak peluang dan ruang cara untuk kita menambah baik sistem pilihan raya kita.
“Sebab itu bila ditubuhkan jawatankuasa penambahbaikan sistem pilihan raya ia diwakili oleh semua pihak.
“Dan kalau kita melihat secara mendalam laporan yang telah dinyatakan, mereka telah mengambil kira semua pandangan dan cadangan untuk dibawa ke Parlimen.
“Malangnya, disebabkan memang telah dirancang oleh mereka supaya perkara ini tidak dibahaskan di Parlimen dan mereka lebih suka membawanya ke jalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Sri Keranji 2012 anjuran Kelab Sri Keranji bertempat di Kampung No.3, Lorong Haji Lembong di sini semalam.
Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut menegaskan kepada rakyat Sarawak agar memahami niat sebenar pembangkang untuk melakukan perhimpunan BERSIH 3.0 yang mana pada beliau bukan niat yang baik.
Bagi Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, ia hanya akan mengotorkan imej negeri, menakutkan pelancong dan pelabur yang mana akhirnya memberi kerugian kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Susulan perhimpunan yang dijadualkan akan diadakan pada 28 April ini, Fadillah turut berharap pihak polis akan memantau supaya pertama ia dapat menjaga ketenteraman awam, lalu lintas tidak terganggu serta orang yang berniaga tidak kerugian.
Bagaimanapun, pada pihak Pemuda katanya, mereka tidak akan mengambil tindakan untuk berlawan sebab mereka sedar dan tahu perkara itu tidak akan mendatangkan hasil.
“Sebab itu kita akan memantau dan memastikan mereka mengikuti segala proses dan peraturan dan kalau mereka melampaui batas, maka kita perlu mengambil tindakan di bawah perundangan sedia ada,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Publisiti PKR See Chee How memberitahu perhimpunan tersebut merupakan anjuran beberapa NGO dan disokong penuh oleh parti komponen Pakatan Rakyat.
Dianggarkan sekitar 400 penyokong dijangka menyertai perhimpunan yang akan diadakan secara aman itu di sini dan penganjur akan memohon permit polis dalam tempoh terdekat ini.


Sunday, April 15, 2012

Program Francais KPDKK patut diguna pakai di Sarawak



Ismail Sabri Yaakob memukul gendang tradisional Sarawak sambil diperhatikan Rohani Abdul Karim, Fadillah Yusof (dua dari kiri) dan Daud Abdul Rahman (dua dari kanan) sebagai tanda simbolik perasmian Program Francais Komuniti peringkat negeri di Kuching, Sarawak, semalam. - BERNAMA


Berjaya tarik 359 francais

KUCHING 14 April - Program Francais Komuniti yang dilancarkan pada 14 Oktober tahun lalu, berjaya menarik penyertaan 359 francais berpotensi dalam pelbagai bidang perniagaan dengan anggaran nilai pelaburan RM11.6 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian program itu amat membanggakan kerana ia baru dilancarkan di enam negeri iaitu Perak, Selangor, Pahang, Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur.
Katanya, program berkenaan berjaya membuka minda masyarakat yang sebelum ini berpandangan bahawa program francais hanya untuk peniaga yang mempunyai modal besar antara RM500,000 dan RM1 juta.
"Pada 2011 bermula Oktober, dengan penglibatan empat negeri sudah ada 207 francais yang berpotensi untuk dibangunkan dengan nilai pelaburan RM8.3 juta.
"Untuk tahun ini setakat hari ini, dengan penambahan dua negeri, kita berjaya mengumpul 155 francais berpotensi dengan nilai pelaburan RM3.2 juta," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Francais Komuniti Peringkat Negeri Sarawak hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Daud Abdul Rahman.
Program Francais Komuniti diperkenalkan dengan tujuan membuka peluang kepada masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana menceburi perniagaan francais mikro melalui pakej francaisi antara RM5,000 hingga RM50,000 oleh syarikat tempatan bergantung kepada jenis perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, setakat ini, sebanyak 121 francais di bawah Program Francais Komuniti menerima pinjaman dana RM2.5 juta daripada Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF).
Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana usahawan berminat supaya merebut peluang untuk mendapatkan baki dana kira-kira RM5.5 juta bagi memulakan perniagaan francais melalui program berkenaan.
Mengenai SPKF yang dikelolakan oleh Perbadanan Nasional Berhad, beliau berkata, ia merupakan peruntukan khas kepada usahawan Program Francais Komuniti mendapatkan suntikan modal dengan prosedur yang dipermudahkan tanpa cagaran mahupun penjamin.

Saturday, April 7, 2012

Pemuda PBB lemah longlai?



Pemuda PBB perlu lebih agresif hadapi PRU 13
Utusan Borneo

Harus berani depani pelbagai cabaran lebih-lebih lagi guna ruang siber untuk dekati pengundi
KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumi-putera Bersatu (PBB) perlu bertindak lebih agresif membantu jentera parti dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PR13U).
Ahli Majlis Tertinggi PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Pemuda PBB harus berani mendepani pelbagai cabaran lebih-lebih lagi menggunakan ruang siber untuk mendekati para pengundi.
“Kita perlu akui penggunaan ruang siber masih lemah dan kita tidak harus menoleh ke belakang untuk berdepan dengan musuh kita.
“Justeru, kita perlu melaku-kan usaha yang lebih drastik dengan menggunakan ‘perang siber’ kerana golongan muda ternyata cenderung menggunakan Internet dan ini membolehkan kita dapat mendekati mereka,” katanya berucap pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pemuda PBB Negeri di sini malam Ahad lalu.
Abdul Karim menarik perhatian bahawa dalam ‘perang siber’, ahli-ahli pergerakan Pemuda tidak perlu takut dan mereka harus bersedia untuk menghadapi cabaran pihak pembangkang.
Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Belia berkata, pembangkang seperti PKR dan DAP mungkin agak agresif dalam pendekatan mereka justeru kita (PBB) harus lebih agresif.
“Saya percaya Pilihan Raya Umum mungkin dalam tempoh terdekat, justeru kita mesti tahu peranan kita dalam menghadapi pilihan raya itu nanti.
“Kita diakui amat sukar kerana kita tidak hanya mahu menang, tetapi untuk memenangi secara besar-besaran terutama kerusi di kawasan PBB,” katanya.
Hadir sama ialah Ketua Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Abdul Karim yang disifatkan sebagai orang yang masih ‘rapat’ dengan Pemuda PBB kerana peranan yang lalu sebagai ketua pemuda dan bekas timbalan ketua.
Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu bahawa kerajaan mempunyai banyak program termasuk Parlimen Belia untuk belia bagi membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan negara.
“Kita harap pelaksanaan Parlimen Belia nanti dapat membantu golongan pemuda untuk bersama-sama membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda PBB Daniel Jubang Kanyan, Ketua Pemuda PBB Zon Kuching Wan Hamzah Wan Paie dan pengerusi penganjur Irwan Zulkarnain Hasbi.