Monday, December 19, 2011

Teknologi nuklear untuk R&D sisa industri rumbia : YB Datuk Fadilah Yusuf


 TERIMA KASIH: Fadillah menerima cenderamata daripada Fatimah sambil diperhatikan (dari kanan) Adi, Jabidah, Saudi dan Yussibnosh.

Teknologi nuklear untuk R&D sisa industri rumbia

Borneo Post December 5, 2011, Monday
DALAT: Agensi Nuklear Malaysia (MNA) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan melaksanakan kajian serta pembangunan (R&D) terhadap sisa industri rumbia.
R&D menggunakan teknologi nuklear itu bertujuan memperkasakan lagi industri rumbia di peringkat huluan serta hiliran di negeri ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Karnival Balau Dalat Edisi Ke-4 di Tebingan Sungai, di sini petang kelmarin.
“Pengaplikasian teknologi nuklear dalam R&D itu tidak sekadar melibatkan sisa industri rumbia. Bahkan, ia merangkumi penghasilan baka baharu berkualiti dengan tempoh matang yang pendek.
“Jika R&D itu dapat direalisasikan, ia akan membantu meningkatkan lagi pendapatan mereka yang berkepentingan dalam industri rumbia,” jelasnya.
Hadir sama Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah serta Setiausaha Kewangan Persekutuan di Sarawak Datu Jabidah Monseri.
Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak Datu Dr Adi Badiozaman Tuah, Residen Mukah Saudi Narani dan Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo turut menghadiri majlis itu.
Fadillah mencadangkan kepada para pengusaha industri kotaj berasaskan rumbia agar mendaftarkan produk-produk keluaran mereka di halaman portal MOSTI iaitu ‘1nita’.
“Apabila produk-produk ini dipromosikan dalam ‘1nita’, ia membantu para pengusaha industri kotaj berteraskan rumbia memperluaskan lagi jaringan perniagaan mereka.
“Insya-Allah, pada tahun depan MOSTI akan menghantar lebih ramai saintis, pakar serta pengkaji dalam usaha membantu memperkasakan lagi industri rumbia di negeri ini,” katanya.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu kemudian mengumumkan pemberian geran sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Penganjur Karnival Balau Dalat Edisi Ke-4.

No comments:

Post a Comment