Showing posts with label Taib Mahmud. Show all posts
Showing posts with label Taib Mahmud. Show all posts

Monday, March 28, 2011

Gantikan Taib dengan Adnan



Selaku Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak mesti mengambil keputusan untuk menggantikan Pehin Seri Abdul Taib Mahmud dengan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional untuk pilihanraya negeri Sarawak.

Umum mengetahui bahawa Ketua Menteri Sarawak akan berundur selepas pilihanraya untuk memberi laluan kepada muka baru sebagai Ketua Menteri yang baru.

Oleh itu, amat wajar sekiranya Ketua Menteri Sarawak diarahkan untuk mengosongkan kerusi Pengarah Pilihanraya untuk diisi oleh Tengku Adnan.

Bolehlah dikatakan secara amnya, kami berpendapat ramai penyokong BN di Sarawak akan menerima baik keputusan untuk mengarahkan Ketua Menteri Sarawak mengosongkan kerusi Pengarah Pilihanraya dan memberikan kepada Tengku Adnan.

Tengku Adnan adalah layak untuk menduduki kerusi ini memandangkan beliau mempunyai kedudukan yang tinggi dalam UMNO dan juga mempunyai pengalaman luas dalam hal pilihanraya.


Sebagai timbalan beliau, kami mencadangkan Datuk Shafie Abdullah kerana beliau amat mengetahui suasana politik Sarawak dan berupaya untuk memberi nasihat-nasihat yang berguna kepada Tengku Adnan.

Pengalaman yang telah diperolehi semasa pilihanraya kecil di Sibu tahun lepas sudah semestinya akan digunakan oleh Shafie untuk menangani pilihanraya negeri yang yang datang ini.

Sunday, February 20, 2011

Rayuan Terbuka Untuk Datuk Seri Najib Tun Razak



Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia Presiden Parti UMNO Datuk Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak,

Kami amat terkejut dan rasa terlalu sedih apabila membawa kenyataan Datuk Seri dalam BERNAMA pada tarikh 19 Januari 2011 yang menggambarkan Datuk Seri menyokong kepimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Sarawak.
Ketika Datuk Seri diminta untuk mengulas kenyataan Ketua Menteri  Sarawak yang mengatakan komuniti Cina perlu mempunyai jumlah wakil rakyat yang banyak yang menjadikan suara komuniti Cina kedengaran dengan nyaring dalam Kerajaan Barisan Nasional, Datuk Seri dilaporkan berkata: “Maka, apabila kita membentuk kerajaan negeri, insya-Allah, selepas pilihanraya, ianya adalah penting untuk kerajaan BN untuk mendapatkan penglibatan wakil rakyat dari komuniti Cina. Oleh sebab itu Pehin Seri (Abdul Taib) membuat kenyataan tersebut, untuk mengelak hanya sebilangan kecil wakil Cina apabila kita (BN) membentuk kerajaan.”

Kami tertanya-tanya sama ada Datuk Seri ada membaca laporan-laporan bertulis mengenai situasi politik Sarawak yang telah diberikan kepada Datuk Seri oleh Setiausaha Politik Datuk Seri, Datuk Shafiee Abdullah.

Sekiranya Datuk Seri ada membaca dan faham dengan sejelas-jelasnya intipati laporan-laporan bertulis tersebut, adalah mustahil untuk Datuk Seri membuat kenyataan menggambarkan sokongan terhadap Ketua Menteri Sarawak.

Adakah perlu kami mengingatkan Datuk Seri bahawa Datuk Shafie Abdullah telah melaporkan secara bertulis bahawa Ketua Menteri Sarawak tidak lagi popular di Sarawak?



Dengan jelas telah dinyatakan oleh Datuk Shafie Abdullah bahawa Ketua Menteri Sarawak bukan sahaja tidak popular di dalam bandar tetapi juga di luar bandar.

Sekiranya Datuk Seri ada bertanya kenalan rapat Datuk Seri dari Sarawak, sudah pasti Datuk Seri mendapat kepastian kebenaran keatas laporan-laporan bertulis tersebut.

Pada masa yang sama Datuk Seri juga dapat memastikan kebenaran laporan dari Datuk Shafie Abdullah yang menegaskan isu tanah di luar bandar menyebabkan Ketua Menteri Sarawak tidak popular dikalangan rakyat.

Disebabkan Ketua Menteri Sarawak tidak lagi popular, beliau merupakan satu liabiliti kepada Barisan Nasional Sarawak.

Maka tidak wajar untuk Datuk Seri membayangkan sokongan kepada beliau dengan menggesa masyarakat Cina agar berdiri di belakang Barisan Nasional Sarawak yang diketuai oleh Ketua Menteri Sarawak.

Umum mengetahui bahawa masyarakat Cina tidak menaruh sebarang keyakinan ke atas kepimpinan beliau.

Kekalahan SUPP kepada DAP dan juga PKR dalam pilihanraya negeri dan umum lepas amat jelas menggambarkan kejelekkan masyarakat Cina terhadap Ketua Menteri Sarawak.

Kegagalan Barisan Nasional mempertahankan kerusi Sibu dalam pilihanraya kecil yang lepas juga disebabkan faktor kebencian yang membuak-buak terhadap Ketua Menteri Sarawak dikalangan masyarakat Cina.



Datuk Shafie Abdullah juga telah mencatatkan hal ini dengan jelas dalam laporan bertulis yang telah diberikan kepada Datuk Seri.

Setiausaha Politik Datuk Seri juga telah memaklumkan secara bertulis kepada Datuk Seri bahawa rata-rata masyarakat Melayu mahukan Ketua Menteri Sarawak, yang berketurunan Melanau, berundur dengan segera.


Masyarakat Melayu sudah muak dengan Ketua Menteri Sarawak yang hanya tahu menjaga kepentingan kaum Melanau sahaja dan meminggirkan kaum Melayu.

Datuk Shafie Abdullah juga telah menjelaskan kepada Dato' Sri dalam laporan-laporan beliau bahawa Ketua Menteri Sarawak tidak menyokong syarikat-syarikat milik Melayu seperti Shorefield, Javel Engineering dan OBYU Holdings untuk mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan.

Sebagai Ketua Menteri Sarawak, beliau sepatutnya berusaha untuk membantu syarikat-syarikat milik Melayu dan bukannya bertindak sebaliknya.

Bahkan telah banyak tuduhan-tuduhan nepotism yang telah dilemparkan kepada Ketua Menteri Sarawak terdapat dalam internet yang benar belaka terutamanya dalam Sarawak Report.

Beliau turut membuat laporan secara bertulis tentang masalah alam sekitar yang berlaku di Sarawak disebabkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional dibawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak sekarang.

Bagi pihak para penyokong setia UMNO di negeri Sarawak, kami merayu Datuk Seri meluangkan masa untuk meneliti laporan-laporan bertulis yang disediakan oleh Datuk Shafie Abdullah yang menggambarkan situasi politik yang sebenar di Sarawak.

Sekiranya Datuk Seri ada membaca laporan-laporan bertulis ini, sudah tentu Datuk Seri tidak akan membuat kesilapan dengan memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sarawak yang merupakan liabiliti kepada Kerajaan Barisan Nasional yang mana UMNO berperanan sebagai parti tulang belakang.


Hidup UMNO !


Sekian. Terima kasih.

Monday, November 15, 2010

Salleh gentar berdepan Taib?


Datuk Salleh Jafaruddin enggan menyahut cabaran Jawatankuasa Penaja Umno Sarawak (JPUNS) agar bertanding pada pilihan raya negeri kelak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

JPUNS baru-baru ini mencabar agar veteran politik itu bertanding menentang Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Pertemuan yang disifatkan ramai sebagai buku bertemu ruas.

Semalam pada ceramah umum anjuran Pergerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS) Salleh yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, menafikan khabar angin yang mengatakan beliau akan aktif semula dalam arena politik.

Salleh tidak aktif dalam politik untuk tempoh kira-kira 20 tahun. Beliau memasuki kancah politik pada 1970an sebagai ADUN Balingian di bawah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Pada 1977, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara atau senator dan seterusnya dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

Wednesday, October 13, 2010

Seminar Media Baru: Pandangan Jauh Fadillah

Kecewa apabila terbaca Utusan Borneo keluaran 12 Oktober 2010 yang seolah-olah mengaitkan nama YB Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Haji Fadillah Yusof dengan tindakan mengkritik YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Apa matlamat tersembunyi di sebalik artikel ini? Siapa dalang yang cuba menjatuhkan Fadillah?



Fadillah seorang pemimpin yang penuh taat setia dengan ketuanya - Abdul Taib.

Saturday, October 9, 2010

Kerajaan Pakatan di Sarawak sekadar mimpi.


Tidak salah meletakkan keyakinan tinggi meskipun tahu keputusan pilihan raya Sarawak kesepuluh adalah satu perkara mustahil menyaksikan Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya membentuk kerajaan negeri menggantikan Barisan Nasional (BN).

Keyakinan dikaitkan apabila pihak terbabit cuba memujuk agar mereka tidak tewas secara saraf sebelum tiba di medan pertempuran. Tidak salah.

Tuesday, October 5, 2010

Pilihan Raya Negeri Sarawak kian hampir

Oleh Misiah Taib
Berita Harian Online
2010/10/03

Komponen BN siap sedia hadapi pengundian ‘pada suatu Sabtu’ dijangka tahun depan

“DAH dekat nak pilihan raya ni, kita kenalah buka silat sikit-sikit. Saya suka main tai-chi, kerana saya orang tua. Tapi orang baru (generasi muda) kenalah buka silat harimau. Kita perlu mempersiapkan diri dengan isu yang timbul, apa lagi pilihan raya dah dekat."

Itulah bayangan paling hampir diluahkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, sekali gus menguatkan lagi spekulasi kemungkinan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 diadakan dalam tempoh terdekat, meskipun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang hanya berakhir Julai tahun depan.

Berikutan itu, Abdul Taib mengajak pemimpin dan tenaga muda dalam BN mula ‘buka silat’ mulai sekarang sebagai persiapan menjelang pilihan raya, bukan saja ketika berucap pada majlis ramah tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Zon Kuching malam 26 September lalu, malah di kebanyakan majlis dihadirinya sejak kembali dari luar negara, 25 September lalu. 



Ketika berjumpa 3,000 masyarakat Cina di Kuching, Khamis lalu, Abdul Taib merayu sokongan kaum Cina kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) supaya suara mereka diwakili dalam kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas pilihan raya negeri akan datang.

Saturday, October 2, 2010

Ejen Umno bantu Penan


Satu pelan bagi meningkatkan kehidupan kaum Penan di Sarawak bakal dilancarkan oleh Yayasan Sejahtera (YS) pada 6 Okt ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad dalam satu kenyataan berkata pelan yang memberi tumpuan kepada Lusong Laku dan Pulau Bruit itu, akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata pelan pembangunan masyarakat komprehensif itu mengandungi sokongan hidup secara lestari, keperluan asas makanan, pembinaan serta pemulihan kediaman, dan pada masa yang sama, penyediaan perkhidmatan asas kepada masyarakat.

Katanya, semua inisiatif tersebut adalah sebahagian usaha anggota Parlimen di Sarawak untuk melihat pembangunan di bahagian pedalaman yang tidak begitu mudah didatangi.

Friday, October 1, 2010

Oh Fatimah! Kau setia dan bela Taib Mahmud.


KUCHING: Menteri Di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah tidak wajar dipersalahkan bulat-bulat berhubung isu wartawan kanan Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan yang mengkritik Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kerana enggan berundur.

Thursday, September 30, 2010

Kita gempur Taib jika perlu!!!

Kita mematuhi sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pimpinan Umno Pusat berkenaan kepimpinan Ketua Menteri Sarawak. 

Kita akan gempur Ketua Menteri Sarawak dan pengampu-pengampunya sekira pimpinan Umno Pusat merasakan Ketua Menteri Sarawak PS Taib Mahmud perlu 'disingkirkan'.




Tuesday, September 28, 2010

Kami sokong kepimpinan Taib!!!

Kami sememangnya menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sarawak PS Taib Mahmud walaupun kami tidak bersetuju dengan parti yang dipimpin beliau.

Kami juga berpendapat pemimpin dari generasi baru mestilah mencontohi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Fadilah Yusuf yang berpolitik untuk rakyat dan bukannya untuk kepentingan politik.


Wednesday, September 1, 2010

Umno: Dengan atau tanpa Taib, BN tetap menang


Umno yakin BN mampu mempertahankan Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang sekalipun Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud membuat keputusan mengundurkan diri.

Mengulas pengumuman mengejutkan Abdul Taib semalam yang beliau sedia mempertimbang untuk bersara dari politik selepas menerajui Sarawak selama 29 tahun, setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan berkenaan langsung tidak akan menjejaskan peluang BN.

“Mungkin dia sedar bahawa rakyat di Sarawak inginkan perubahaan. Bagi kami, Sarawak tetap dalam tangan sama ada dia (Abdul Taib) memimpin atau orang lain yang memimpin,” kata Tengku Adnan yang juga adalah setiausaha agung Umno.

Abdul Taib semalam berkata beliau tidak dapat membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi DUN diwakilinya pada pilihan raya negeri ke-10 akan datang kerana perkara itu kerana ia perlu dibincangkan dan diluluskan oleh pucuk pimpinan.

Namun katanya, beliau bersedia untuk berundur jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

"Banyak orang kata saya tidak diperlukan. Jika saya tidak diperlukan, saya akan berundur," katanya.
Taib yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak 1981 dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata beliau sebenarnya mahu berundur daripada politik pada 2006 tetapi ramai di kalangan dalam parti menentang hasratnya itu dan akhirnya beliau memutuskan untuk tidak bersara.

Tengku Adnan hari ini menafikan spekulasi bahawa Umno meletakkan tekanan ke atas Abdul Taib untuk berundur kerana pemimpin berkenaan sejak akhir-akhir ini mendapat publisiti buruk di media berhubung dakwaan kekayaan beliau dan keluarganya.

“Tiada tekanan dari pihak kami (Umno), tetapi kami menerima jika beliau mahu berundur. Mungkin dia (Taib) sudah terlalu lama dalam politik.

“Jika seseorang terlalu lama memegang kuasa, orang ramai akan mula bosan. Dia juga mungkin sudah penat, jadi kenyataannya itu memang adil,” kata Tengku Adnan ketika dihubungi.
Katanya, keadaan Abdul Taib itu mencerminkan apa yang berlaku ke atas bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merancang persaraan selepas BN mengalami kemerosotan sokongan pada 1999.

“Hanya negarawan yang memikirkan kepentingan negeri daripada hanya dirinya sendiri. Bagi Umno, ada pemimpin lain yang mampu untuk ambil-alih jika Taib berundur,” katanya.

Di sebalik penafian Tengku Adnan, akhbar-akhbar yang dimiliki Umno hari ini memberi pendedahan meluas terhadap kenyataan Abdul Taib itu.