Friday, November 5, 2010

Empat sebab Cina benci 30 peratus kuota



Oleh: Nor Yanti Karim (laman sesawang Perkasa)

Sejak kebelakangan ini, pemimpin cina semakin aktif mempersoalkan kuota 30% bumiputera dan hak keistimewaan orang Melayu. Mengapakah ini berlaku? Saya berpandangan ini berlaku disebabkan beberapa perkara, iaitu dalam usaha mereka mengukuhkan penguasaan dalam bidang ekonomi melalui sektor hartanah, modal insan, pasaran modal dan perniagaan:

Pertama adalah mereka ingin mengukuhkan penguasaan mereka dalam bidang hartanah. Disebabkan itulah munculnya gesaan supaya kuota bumi dihapuskan. Selain itu, ada pula yang mendesak supaya diskaun bumiputera dihapuskan. Ini tidak lain adalah bagi mengukuhkan penguasaan mereka dalam bidang hartanah. Sedarlah bahawa hartanah adalah modal fizikal yang penting dalam apa jua perniagaan. Kita perlu sentiasa berusaha supaya orang Melayu sentiasa meningkatkan penguasaan dalam bidang hartanah.

Kedua, mereka ingin menguasai sumber manusia dan memastikan orang Melayu terus terpinggir. Dengan demikian, orang Melayu hanya akan dapat bekerja di sektor bawahan sahaja. Disebabkan itulah mereka menggesa supaya kuota bumi dihapuskan. Dengan tiadanya kuota itu, maka mudahlah bagi mereka memenuhkan syarikat dan organisasi mereka dengan bangsa mereka sendiri. Mereka juga mungkin ingin memperalatkan Perbadanan Bakat yang akan mula beroperasi pada tahun depan. Ini kerana Perbadanan Bakat akan memudahkan urusan pengambilan pegawai dari negara luar. Jadi, akan lebih mudahlah bagi mereka mengambil para pekerja dari hong kong, singapura, china dan negara-negara diaspora cina yang lain. Mereka mungkin menggunakan alasan bahawa mereka ingin menambahkan jumlah ‘tenaga pakar’ di Malaysia, kononnya bagi memastikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi. Kita perlu memastikan ini tidak berlaku, malah perlu memastikan supaya saiz kelas menengah Melayu semakin meningkat dan orang Melayu mendapat tempat di setiap lapisan sektor sumber manusia, terutama sekali lapisan teratas.

Ketiga, mereka ingin mengukuhkan penguasaan mereka dalam pasaran modal. Disebabkan itulah mereka menggesa supaya kuota bumi dihapuskan, yang mana kuota ini meliputi pegangan dalam syarikat tersenarai. Perkembangan terbaru yang berlaku pula adalah Malaysia kini diiktiraf oleh kerajaan China sebagai destinasi pelaburan yang diluluskan. Dengan kelulusan kerajaan China itu dan penghapusan kuota bumi, maka para pemodal cina dari Malaysia dan juga China akan dapat menguasai pasaran modal Malaysia dengan lebih mudah, iaitu dengan membanjiri pasaran modal Malaysia dengan modal dari China. Dengan demikian, penguasaan ekonomi mereka juga bertambah kuat. Saya tidaklah berkata bahawa modal dari China perlu ditolak. Ia memang dialu-alukan. Tetapi janganlah sampai ia menguasai pasaran modal negara. Tumpukan juga pada modal dari Indonesia, negara-negara Islam, Jepun, Korea Selatan dan Negara Kesatuan Eropah.

Keempat adalah mereka ingin mengukuhkan penguasaan mereka dalam sektor perniagaan. Disebabkan itulah mereka menggesa supaya kuota bumi dihapuskan, yang mana mereka ingin meningkatkan penguasaan mereka dalam sektor perniagaan, terutama sekali yang melibatkan kontrak kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Kita perlu sedar bahawa kuota bumiputera bukan setakat kuota biasa, tetapi merangkumi semua bidang. Jika kuota bumi dihapuskan, maka rosaklah sebarang usaha bagi terus membangunkan masyarakat bumiputera. Di ketika yang sama, kita juga perlu menambah baik kualiti orang Melayu supaya kita menjadi bangsa yang cemerlang. Memanglah bukan semua orang Melayu yang akan menjadi intelektual terbilang ataupun usahawan gemilang. Sudah tentu masih ramai juga yang akan menjadi buruh dan pekerja bawahan, malah sumbangan mereka amat diperlukan. Namun apa yang perlu kita pastikan adalah bahawa orang Melayu tidak menjadi bangsa lemah, iaitu majoriti daripada kita menghuni kelas bawahan dalam lapisan masyarakat. Bagi menguasai ekonomi, orang Melayu wajib menguasai hartanah, modal insan, pasaran modal dan juga sektor perniagaan.

No comments:

Post a Comment