Friday, November 5, 2010

Yong gagal guna sentimen kewilayahan, Galas terima Umno


Usaha bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee memancing pengundi menggunakan sentimen kewilayahan tidak membuahkan hasil pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi apabila calon BN Datin Linda Tsen menang.

Yong daripada SAPP gagal meraih undi majoriti menggunakan sentimen tersebut kerana Umno - meskipun bukan calonnya bertanding - membuktikan Umno tidak pernah mengenepikan hak kaum lain sejak berada di Sabah.

Linda, daripada PBS, 'mewarisi' kerusi tersebut daripada mendiang suaminya Datuk Edmund Chong Ket Wah yang meninggal dalam kemalangan pada 9 Oktober lepas.

Pilihan raya tersebut menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Selain Linda dan Yong, PKR turut mengetengahkan calonnya, Ansari Abdullah.

Linda, guru muzik sambilan, meraih majoriti 6,359 undi dengan memperoleh 9,773 undi berbanding Ansari 3,414 undi dan Yong 2,031 undi.



Pada pilihan raya umum 2008, mendiang Edmund mengalahkan calon Bebas Dr Chung Kwon Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Nampak gaya, usaha Umno dan parti-parti komponen BN yang lain di Sabah berjaya mengekalkan sokongan rakyat di kawasan Parlimen Batu Sapi.

Ini sekali gus menandakan penduduk Sabah bukan pemain sentimen kewilayahan dan menerima seadanya perjuangan bersama Umno.

Kejayaan BN mengekalkan kerusi Batu Sapi lebih bermakna apabila pilihan raya kecil DUN Galas menyaksikan Umno merampas kerusi tersebut daripada PAS.

Meminjam kata-kata pembangkang ketika menang pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Mei lepas "rakyat mula faham perjuangan parti". Dalam kes ini, penduduk DUN Galas kembali menaruh keyakinan terhadap Umno.

Kerusi Galas di Gua Musang kembali kepada BN apabila Abdul Aziz Yusof menang dengan majoriti 1,190 undi setelah mendapat 5,324 undi berbanding 4,134 undi yang diperoleh calon PAS Dr Zulkefli Mohamad.

Majoriti diperoleh Abdul Aziz adalah 544 undi lebih tinggi berbanding yang diperoleh Chek Hashim pada pilihan raya umum 2008 iaitu sebanyak 646 undi.

Pada pilihan raya umum 2004, Mohamad Saufi Deraman dari BN mengalahkan Chek Hashim dengan majoriti 1,729 undi.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS pada 27 Sept akibat barah usus.

Bersandarkan dua kemenangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu tersenyum meskipun hanya mampu mendengar khabar gembira itu dari rumahnnya kerana menghidap demam cacar.

Beliau menyifatkan kemenangan BN sebagai keyakinan rakyat terhadap hala tuju yang hendak dibawa oleh kerajaan BN.

"Ini khususnya dalam konteks transformasi yang sedang diperjuangankan oleh kerajaan BN dengan pembentangan perancangan yang begitu terperinci dan rapi sekali," katanya yang dipetik menerusi Bernama.

"Mereka telah meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada BN bagi membawa kemajuan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk di Batu Sapi dan Galas."

"Saya beri jaminan janji-jani BN di Galas dan Batu Sapi akan ditunaikan," katanya mengulas kejayaan BN mempertahankan kerusi Batu Sapi dengan majoriti lebih b'esar, dan memenangi semula kerusi Galas daripada PAS.
  

No comments:

Post a Comment