Sunday, December 16, 2012

YB Datuk Fadillah Yusuf terlampau kuat untuk dialihkan dari kerusi parlimen Petra Jaya







Daud sangkal Fadillah tidak dicalon semula

Utusan Borneo October 12, 2012, Friday
KUCHING: Khabar angin yang mengatakan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof tidak akan dipertandingkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) disangkal Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Daud Abdul Rahman.
Beliau menegaskan, keputusan untuk menentukan calon di kerusi berkenaan sudah ditentukan oleh pucuk pimpinan negeri iaitu Presiden PBB, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
“Bagi saya keputusan untuk menentukan calon di kerusi Parlimen Petra Jaya sudah ditentukan iaitu Yang Berhormat Fadillah akan menjadi calon di situ, perkara itu tidak ada keraguan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) berjumlah RM57,618.54 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.
Menyentuh mengenai kekurangan Fadillah turun padang di kawasan Parlimen Petra Jaya, Daud berkata: “Kita akan suruh beliau lebih aktif, tugas beliau sebagai Timbalan Menteri di peringkat persekutuan itu menyebabkan beliau sibuk dengan tugasnya sebab itu beliau tidak selalu di sini (kawasannya).”
“Walaupun begitu wakil-wakil rakyat di bawah Parlimen Petra Jaya sentiasa membantu beliau seperti saya sendiri, Datuk Amar Abang Johari (Tun Abang Openg), Sharifah Hasidah (Syeed Aman Ghazali) kerana kita sentiasa membantu satu sama lain,” jelasnya lagi.
Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur menambah, sokongan tidak hanya bergantung kepada calon sahaja tetapi juga daripada akar umbi parti itu sendiri.
“Bagi kita, kerjasama daripada akar umbi parti penting bagi memastikan calon BN di kawasan Petra Jaya menang dengan undi yang lebih besar kerana ini tugas kita bersama,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Daud memberitahu jentera parti PBB di seluruh negeri kini sudah dalam keadaan bersiap sedia dan hanya menunggu pengumuman tarikh sebenar PRU13.
“Kita sudah beritahu PBB sentiasa bersedia bukan sahaja November tetapi bila-bila masa… kita buat persediaan ringan-ringan kalau kita tengok tarikh itu sudah diumumkan kita hanya perlu hidupkan jentera sepenuhnya,” ujarnya.
Namun demikian, katanya, pihaknya hanya belum menubuhkan bilik gerakan tetapi kerja-kerja di peringkat akar umbi sudah dilaksanakan secara berterusan.