Tuesday, November 22, 2011

Fadillah sangkal pertarungan sengit dengan PKR

Utusan Borneo November 21, 2011, Monday
KUCHING: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Fadillah Yusof menyangkal dakwaan bahawa PBB kini berhadapan pertarungan sengit dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau yang ditemui selepas Program Mesra Rakyat P.194 Petra Jaya di pekarangan bangunan surau lama Kampung Matang Batu 10 di sini semalam nyata tidak bersetuju apabila partinya dikatakan berhadapan dengan persaingan hebat daripada PKR.
“Persaingan kuat? Saya tidak rasa ada persaingan kuat antara PBB dan PKR. Apa yang kuat ialah dari segi suara-suara sumbang mereka sahaja,” katanya.
Tambahnya, apa yang mereka tahu lakukan ialah bercakap sahaja dan mengapi-apikan apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).
“Mereka lupa selepas lima tahun di mana kedudukan negara kita Malaysia dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi dan negara maju.
“Pembangkang sudah pasti akan cuba memburuk-burukkan perkara baik yang telah dilakukan oleh BN,” katanya.
Ditanya mengenai peluang BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya yakin BN mampu memberikan impak yang besar berdasarkan prestasi kini.
“Apa yang penting kini ialah kita mesti bekerjasama sebagai BN. Pembangkang memang suka membangkitkan apa sahaja dan menuduh BN tidak melakukan perkara yang baik,” ujarnya.
Ditanya mengenai kemelut yang sedang Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kini, Fadillah berkata apa yang penting ialah mereka mesti fokus, bekerjasama antara ahli, elak krisis peribadi dan lakukan perkara baik untuk rakyat.
“Dengan itu saya yakin, SUPP akan diterima bukan sahaja di kalangan masyarakat Cina tetapi juga di kalangan bukan Cina,” ujarnya.
Terdahulu pada majlis tersebut Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merasmikan Pejabat Gerakan Daya Wawasan Kampung Matang Batu 10.
Beliau turut melakukan ucapara menepung tawar peserta berkhatan melibatkan kanak-kanak seramai 25 orang.

No comments:

Post a Comment