TAWAU: Kemasukan UMNO ke Sabah sejak 20 tahun lalu berjaya menyatukan kaum Bumiputera di Sabah yang berpecah dan sering berbalah disebabkan perbezaan fahaman parti politik, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata kemasukan UMNO juga telah mewujudkan kestabilan politik di negeri ini yang kondusif untuk pembangunan rakyat.
"UMNO memanjangkan sayapnya ke Sabah ini bertujuan untuk menyatukan kaum Bumiputera. Saya dapat menyaksikan perpecahan di kalangan kumpulan-kumpulan parti USNO, BERJAYA dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
"Tapi bila mana UMNO ke negeri ini, semua kaum mula berteduh dan berpadu dengan teguh di bawah parti keramat UMNO ini," katanya ketika berucap sempena Majlis Gema Aidilfitri di Sabah.
Rentetan daripada peristiwa berkenaan, Shafie berkata, pembangunan terus mencurah ke Sabah dan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak penekanan terus diberi terhadap pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Katanya sepanjang rancangan-rancangan Malaysia yang lalu, inilah buat kali pertamanya Sabah dan Sarawak diberi fokus utama dalam pembangunan luar bandarnya meskipun pada masa yang sama negeri-negeri lain tidak diabaikan.
Bagaimanapun, Shafie berkata rakyat perlu bersabar kerana tidak semua pelaksanaan projek rakyat yang sudah dirancang dan sedang dilaksanakan dapat dilihat dalam sekelip mata kerana ada sesetengahnya mengambil masa disebabkan banyak faktor.
Sebagai contoh, katanya, di Sarawak untuk melaksanakan projek untuk penduduk luar bandar termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik di sesetengah kawasan, bahan binaan dan peralatan terpaksa dibawa menggunakan sungai dan semua ini memakan masa.
Katanya meskipun pelbagai cabaran perlu dihadapi termasuk faktor proses pengambilan tanah untuk melaksanakan projek-projek luar bandar berkenaan namun ia tidak menghalang kerajaan untuk melaksanakannya seperti yang digariskan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).
Beliau berkata semua ini dilakukan kerajaan agar rakyat di luar bandar tidak tertinggal daripada pembangunan arus perdana negara.
No comments:
Post a Comment