Tuesday, September 28, 2010

Fadillah secocok dengan perjuangan Umno


Bakat kepimpinan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Haji Fadillah Yusof kian terserlah di persada politik tempatan.

Terbaru, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu mendapat 'pengiktirafan' daripada Jawatankuasa Penaja Umno Negeri Sarawak (JPUNS) kerana berjuang demi rakyat.

Sebelum ini Affendi Jeman, pengerusi JPUNS, tidak pernah memuji mana-mana pemimpin PBB. Affendi maklum, PBB adalah penghalang Umno untuk mengembangkan sayap di Bumi Kenyalang.
Apa tuah yang Fadillah miliki hingga Affendi secara terbuka menyokong gaya kepimpinan Fadillah. Fadillah mungkin sesuai untuk bersama Umno yang begitu gigih berjuang demi rakyat.

JPUNS yang berpejabat di Matang Jaya, Kuching dikatakan mendapat sokongan daripada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (KJ).

Sokongan KJ - anak menantu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi - terhadap kumpulan Affendi terserlah ketika Abdullah masih menjadi pemimpin nombor satu negara.

KJ dan Affendi maklum tentang kepentingan Umno mengembangkan sayap ke Sarawak.

Mereka mahu membantu Bumiputera keluar dari kepompong kemiskinan seperti yang diusahakan Umno di semenanjung dan Sabah.

Umno tidak ada tolok banding - serius dalam memperjuangkan hak dan batil kaum Melayu di semenanjung dan Bumiputera di Sabah. Enam Perdana Menteri Malaysia adalah dari Umno - bukan Parti Keadilan Rakyat (PKR), bukan juga Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Umno melahirkan pemimpin yang mencorak pembangunan dan masa depan Malaysia.

JPUNS mengenalpasti seorang pemimpin generasi baru berbakat untuk menerajui Umno di Sarawak - Fadillah.

Beliau yang kini berusia 48 tahun merupakan Ketua Pemuda PBB untuk penggal kedua selepas menggantikan Dato Sri Douglas Uggah pada 2007.

Tempoh jawatan parti dipegang beliau kini akan tamat pada 2013 apabila jawatan itu tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung PBB Mac 2010.

Keunggulan dan karisma Fadillah juga terserlah apabila menang bergaya dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum 2004 di Parlimen Petra Jaya, meskipun pertama kali menyertai pilihan raya.

Beliau sekali lagi dipilih oleh para pengundi di kawasan tersebut untuk mewakili mereka di Parlimen menerusi Pilihan Raya Umum 2008, sekali gus menunjukkan keyakinan rakyat di kawasan Petra Jaya.

Menerusi satu kenyataan, Affendi membayangkan Fadillah mempunyai hubungan baik dengan KJ.

Dalam kenyataan yang menyokong keputusan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk terus menjadi Ketua Menteri, tidak semena-mena Affendi berkata:

"Saya Kagum dengan perwatakan YB Fadillah Yusof yang jelas lantang dalam isu-isu rakyat. Kalau dari kaca mata saya, mungkin generasi baru dan rakyat amnya, beliau (Fadillah) ada ketokohan dan karisma memegang tampuk kepimpinan."

No comments:

Post a Comment