Tuesday, December 13, 2011

Fadillah - Elak ditipu pihak jual borang BR1M

Borneo Post December 12, 2011, Monday
KUCHING: Orang ramai dinasihati agar tidak tertipu dengan pihak tidak bertanggungjawab menjual borang permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Timbalan Menteri Sains, Tekonologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata borang BRIM diagihkan secara percuma dan saksama kepada orang ramai serta boleh didapati di semua pejabat cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pejabat-pejabat Daerah dan sekolah-sekolah terpilih.
“Ingin saya tegaskan, khususnya untuk rakyat Sarawak apa yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah secara percuma, termasuk borang permohonan. Jadi jangan terperangkap dengan sindiket yang ingin mencari keuntungan cepat memperdayakan orang ramai dengan menjual borang, menjadi ejen memproses borang.
“Semua ini tidak perlu kerana kerajaan telah mempermudahkan segala proses ini,” ujarnya ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat BR1M di Auditorium Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan wujudnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab di bandar raya ini yang  menjual salinan borang permohonan BR1M pada harga 50 sen sekeping pada hari pertama pengedaran borang Sabtu lepas.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, turut berasa kesal dengan tindakan pihak terbabit kerana mengambil kesempatan atas kepayahan rakyat.
Sementara itu ketika menyampaikan taklimat mengenai BR1M beliau memberitahu orang ramai tidak perlu tergesa-gesa dan berebut-rebut untuk mendapatkan borang permohonan BR1M kerana tempoh permohonan dilanjutkan sehingga 10 Januari.
“Selain di pejabat-pejabat LHDN dan semua pejabat daerah di seluruh Sarawak, borang BR1M boleh didapati di beberapa sekolah terpilih seperti SK Siol Kanan, SMK Petra Jaya, SK Sejingkat, SK Tan Sri Datuk Haji Mohamed, SK Garland, SJK Chung Hua Batu 4 1/2 Jalan Penrissen, SMK Pending, SJK Chung Hua Batu 81/2, Batu Kitang dan SJK Chung Hua Tondong.
“Kaunter-kaunter penyerahan borang di sekolah-sekolah ini beroperasi hingga 23 Disember dan dibuka kepada orang ramai dari jam 9 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Orang ramai juga katanya boleh mendapatkan borang di Pejabat Daerah Kecil Tebedu, Pejabat Daerah kecil Simunjan, Pejabat Daerah Kecil Sibuyau, PKH Sri Aman, Pejabat Daerah Kecil Pantu, Pejabat Daerah Kecil Lingga, Pejabat Daerah Betong, Pejabat Daerah Kecil Pusa dan Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Pejabat Daerah Kecil Debak, Pejabat Daerah Saratok, Pejabat Daerah Kecil Kabong, Pejabat Daerah Lubok Antu dan Pejabat Daerah Kecil Engkilili.
Pada masa sama beliau mengingatkan orang ramai agar menyatakan maklumat yang tepat khususnya jumlah pendapatan bulanan ketua keluarga kerana jika maklumat dinyatakan didapati tidak tepat pemohon boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan deklarasi palsu.
“Pemohon perlu jujur dalam mendeklarasikan jumlah pendapatan bulanan kerana jika semakan mendapati jumlah atau maklumat tidak betul tindakan mahkamah boleh diambil,” ujarnya.
Mengenai pembayaran wang bantuan RM500 di bawah BR1M, Fadillah berkata ia akan dilakukan secara berterusan sehingga kerajaan mendapati semua kumpulan sasaran mendapat bayaran dengan fasa pertama pembayaran akan dilakukan mulai 15 Januari 2012.
Beliau memberitahu LHDN sebagai badan pelaksana induk akan memaklumkan kepada penerima yang berjaya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan surat.
“Baucar akan dikeluarkan kepada pemohon yang berjaya dan ia boleh ditebus di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negeri,” tambahnya.
Taklimat itu yang  dihadiri kira-kira 300 orang terdiri daripada ketua-ketua masyarakat dari kawasan Petra Jaya, wakil-wakil persatuan dan  wakil daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pending turut dihadiri Pengarah LHDN Cawangan Kuching Saibun Salam serta Timbalan Residen Kuching Zamahari Saidi.

No comments:

Post a Comment