Sunday, April 15, 2012

Program Francais KPDKK patut diguna pakai di Sarawak



Ismail Sabri Yaakob memukul gendang tradisional Sarawak sambil diperhatikan Rohani Abdul Karim, Fadillah Yusof (dua dari kiri) dan Daud Abdul Rahman (dua dari kanan) sebagai tanda simbolik perasmian Program Francais Komuniti peringkat negeri di Kuching, Sarawak, semalam. - BERNAMA


Berjaya tarik 359 francais

KUCHING 14 April - Program Francais Komuniti yang dilancarkan pada 14 Oktober tahun lalu, berjaya menarik penyertaan 359 francais berpotensi dalam pelbagai bidang perniagaan dengan anggaran nilai pelaburan RM11.6 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian program itu amat membanggakan kerana ia baru dilancarkan di enam negeri iaitu Perak, Selangor, Pahang, Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur.
Katanya, program berkenaan berjaya membuka minda masyarakat yang sebelum ini berpandangan bahawa program francais hanya untuk peniaga yang mempunyai modal besar antara RM500,000 dan RM1 juta.
"Pada 2011 bermula Oktober, dengan penglibatan empat negeri sudah ada 207 francais yang berpotensi untuk dibangunkan dengan nilai pelaburan RM8.3 juta.
"Untuk tahun ini setakat hari ini, dengan penambahan dua negeri, kita berjaya mengumpul 155 francais berpotensi dengan nilai pelaburan RM3.2 juta," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Francais Komuniti Peringkat Negeri Sarawak hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Datuk Daud Abdul Rahman.
Program Francais Komuniti diperkenalkan dengan tujuan membuka peluang kepada masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana menceburi perniagaan francais mikro melalui pakej francaisi antara RM5,000 hingga RM50,000 oleh syarikat tempatan bergantung kepada jenis perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, setakat ini, sebanyak 121 francais di bawah Program Francais Komuniti menerima pinjaman dana RM2.5 juta daripada Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF).
Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana usahawan berminat supaya merebut peluang untuk mendapatkan baki dana kira-kira RM5.5 juta bagi memulakan perniagaan francais melalui program berkenaan.
Mengenai SPKF yang dikelolakan oleh Perbadanan Nasional Berhad, beliau berkata, ia merupakan peruntukan khas kepada usahawan Program Francais Komuniti mendapatkan suntikan modal dengan prosedur yang dipermudahkan tanpa cagaran mahupun penjamin.

No comments:

Post a Comment