Malaysiakini
Setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kalangan anggota parti itu belum memahami sepenuhnya Model Baru Ekonomi (NEM) yang dipelopori presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kegelisahan yang wujud di kalangan ahlinya terhadap penambahbaikan Dasar Ekonomi Baru, yang dikhuatiri akan menghakis hak dan keistimewaan Melayu.
Namun, tidak ramai di kalangan pemimpin parti yang tampil memberi penjelasan dan mempertahankan buah fikiran presiden mereka – usaha untuk liberasi pasaran dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Najib kelihatan keseorangan dalam bercakap mengenai idea besar itu – termasuk menilai semula dasar afirmatif kepada masyarakat Melayu.
Tidak ramai di kalangan pemimpin yang memberi sokongan, malah wujud pula NGO yang dilihat berusaha keras untuk menggagalkan rancangan berkenaan.
Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini, Tengku Adnan berkata, Umno telah menugaskan satu pasukan khas untuk menjelaskan isu berkenaan kepada akar umbi.
Dengan penjelasan secukupnya, beliau percaya anggota parti berjumlah kira-kira tiga juta orang itu akan dapat menerimanya.
“Saya percaya, sebaik saja penjelasan diberikan dengan betul, (ahli) Umno pasti akan menerimanya kerana NEM ialah model yang baik untuk pertumbuhan, masa depan dan rakyat negara ini,” katanya.
Tambahnya, keengganan ahlinya untuk menerima gagasan besar itu mungkin disebabkan mereka selesa dengan keadaan sedia ada dan tidak ingin berubah.
“Kita sudah ada satu pasukan untuk menjelaskan kepada mereka. Tapi kadang-kadang, ianya (disebabkan) sifat manusia.
"Jika anda sudah biasa dengan (cara) sebelum ini, anda cenderung untuk berasa selesa," katanya.
Beliau juga mengenepikan tanggapan bahawa keterbukaan yang ditunjukkan Najib kepada masyarakat bukan Melayu telah menimbulkan rasa tidak senang anggota partinya.
Katanya, pandangan seperti itu hanyalah tanggapan semata-mata. Pihak yang banyak mengeluh mengenai perkara itu hanyalah golongan yang tidak mahu berubah, katanya lagi.
“(Mereka) fikir bahawa mereka akan kehilangan apa yang mereka ada mereka sudah ada. Mereka fikir, sekarang masih senang, tetapi dengan NEM, ianya bukan senang lagi.
“Tapi anda kenalah berubah. Bila mereka sedar ia baik, mereka akan terima,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment