Thursday, October 21, 2010

Perhimpunan Agung Umno 2010 - Wanita Umno perlu membuat anjakan paradigma


Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini berkata para anggota Wanita Umno perlu membuat anjakan paradigma bagi menaikkan kedudukan wanita berkebolehan dalam parti itu.

Mereka mestilah sanggup menolak perasaan cemburu dan iri hati terhadap satu sama lain bagi mencapai matlamat tersebut, katanya semasa menggulung perbahasan usul ucapan dasar dan ekonomi pada Perhimpunan Agung Wanita Umno 2010.

Shahrizat berkata Wanita Umno juga perlu "menolak rasa takut untuk memperjuangkan perkara tersebut."

Shahrizat dalam ucapan dasarnya mengajak Wanita Umno untuk memperjuangkan peranan lebih bermakna di dalam parti dan kerajaan bagi melonjak kedudukan mereka dalam Umno ke satu tahap kepimpinan yang membanggakan.


Beliau mahu melihat ada anggota Wanita Umno yang dapat menjadi Menteri Besar, Ketua Menteri, pengerusi perhubungan negeri dan jawatan-jawatan tinggi dalam parti.

Shahrizat berkata pergerakan Puteri Umno juga perlu menyokong cadangan itu kerana mereka juga antara yang mendapat faedahnya, selain generasi muda wanita akan datang.

"Hari ini kita hanya tanam benih. Kalau ia menjadi kenyataan suatu hari nanti benih yang ditanam dapat melonjakkan kedudukan kepimpinan wanita pada akan datang," katanya.
 

No comments:

Post a Comment