Beberapa minggu orang-ramai tidak disajikan tentang berita mengenai usaha perjuangan Jawatankuasa Penaja Umno Negeri Sarawak (JPUNS) di dada akhbar yang berusaha membawa masuk parti tulang belakang Barisan Nasional (BN).
Bisik-bisik orang-ramai di kaki lima kedai mengatakan JPUNS kini menyusun semula strategi apabila cubaan mereka mendapat tentangan daripada para pemimpin BN di Sarawak.
Tentangan mereka kerana risau dakwaan Affendi Jeman, Pengerusi JPUNS, benar apabila sering melaungkan keahlian pergerakan itu di seluruh negeri kini mencapai 70,000 orang.
Penyusunan semula strategi agak jelas apabila ura-ura mengatakan Affendi akan menarik balik permohonan pendaftaran Parti Agenda Rakyat Bumiputera Sarawak (Parti ARBS) yang belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Parti ARBS, sebelum ini bercadang meletakkan calon-calon di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri Sarawak nanti.
Affendi, usah anda menarik balik kerana ROS pasti tidak akan meluluskan permohonan terbabit.
Kesetiaan Affendi yang juga presiden penaja Parti ARBS terhadap Umno tidak perlu digusari.
Dia memang setia dan menghayati perjuangan Umno - meskipun ramai ahli politik Sarawak tidak memahami dasar perjuangan parti unggul Melayu itu.
JPUNS yang berpejabat di kawasan komersial Matang Jaya, Kuching kali ini akan memberi tumpuan khusus untuk membawa Umno ke Sarawak.
Tumpuan khusus dimaksudkan ialah dengan menambah keahlian di seluruh negeri dari 70,000 orang kepada 100,000 orang. Satu angka yang bakal mengegarkan kepala lutut para pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Bukan sekadar menambah bilangan ahli, tetapi ingin 'menyusup masuk' ke dalam mana-mana parti komponen BN JUGA mengetengahkan bakal pemimpin Umno Sarawak.
Istilah 'menyusup masuk' wajar dimengertikan apabila JPUNS tiba-tiba memuji perjuangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
SUPP dilihat JPUNS sebagai parti yang mempunyai persamaan perjuangan dengan UMNO - berjuang membangunkan hak Bumiputera.
Meskipun sebuah parti majoriti Cina, SUPP menurut Affendi mempunyai barisan pemimpin yang berjaya membela nasib Bumiputera di kawasan mereka.
Bagaimanapun SUPP dilihat kaum Cina sebagai gagal dan seterusnya mengakibatkan mereka hilang beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kesembilan pada 2006.
Itu pendapat JPUNS tentang SUPP. Tidak mengapa kurang tepat, asalkan perjuangan Umno mampu bertapak di Sarawak yang dilandaskan oleh Affendi dan rakan-rakannya.
Kedua, strategi JPUNS adalah untuk mendapatkan sokongan beberapa pemimpin yang dikatakan berkongsi minat terhadap Umno.
Fadillah Yusof, Ketua Pemuda PBB merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, ialah nama dipuji oleh JPUNS baru-baru ini.
Sudah pasti bukan bakat kepimpinan sahaja yang ada pada diri Fadillah menjadi tarikan JPUNS, tetapi beliau mempunyai hubungan akrab dengan para pemimpin Umno di Semenanjung.
Sewajarnya, pemimpin dan ahli politik ibarat Fadillah perlu lebih ramai lahir dari Sarawak agar memudahkan usaha Umno membuka keahlian di Sarawak.
Umno bukan hendak membolot harta kekayaan sumber bumi Sarawak. Anggapan sedemikian amat salah.
Apabila Umno mula bertapak di Bumi Kenyalang, nescaya nasib penduduk peribumi akan berubah apabila penyertaan mereka dalam bidang ekonomi meningkat.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal dari Sabah baru-baru ini mengakui kehebatan strategi Umno dalam membangunkan Negeri Di Bawah Bayu itu menerusi penyertaan politik secara langsung.
Perakuannya itu dapat disimpulkan dengan frasa "Umno membawa pembangunan memberangsangkan di Sabah".
Jika penduduk Sarawak tidak percaya tentang usaha Umno di Sabah, sila bertanya dengan rakan-rakan di negeri tersebut.
Kemasukan Umno ke Bumi Kenyalang bakal membawa perubahan landskap politik dan ekonomi.
Umno untuk rakyat Sarawak. Hidup Umno!!!
Calon Pembangkang akan menang di Batu Sapi kerana calon BN kurang layak jika dibandingkan dengan calon Pembangkang.Kenapa BN pilih Janda itu ya?
ReplyDeletePenyokong UMNO memang ramai di Sarawak termasuklah bumiputera kaum dayak yang inginkan perpaduan untuk membela kaum bumiputera keseluruhannya dan untuk menghakis sikap anti-malaya oleh golongan-golongan berkepentingan.
ReplyDeleteWalaubagaimanapun, Nama encik Affendi Jeman yang dulunya menganggap dirinya sebagai Pengerusi JPUNS adalah satu nama yang sudah lapok dan sama sekali tidak boleh diterima kerana beliau sudahpun terbukti gagal disebabkan penipuan dan pembohongan beliau yang didedahkan di dalam akhbar Utusan Borneo selepas pilihanraya negeri bulan April 2011.
Jika UMNO jujur dan ikhlas untuk memperjuangkan kaum bumiputera yang melibatkan orang dayak dan bukan hanya untuk orang melayu sahaja, maka nama Affendi Jeman tidak boleh dikaitkan lagi dengan perjuangan UMNO ke Sarawak kerana semua orang Sarawak sudah tahu siapa itu Affendi Jeman. Masalah dia dengan orang yang telah dikhianati, ditipu dan diperdaya belum lagi diselesaikan inikan pula nak ada strategi baru? Carilah pemimpin yang benar-benar jujur ikhlas dan layak dan ada maruah tetapi bukan Affendi Jeman. Selama ini beliau telah diberikan banyak peluang dan dia mengambil kesempatan namun telah dipersia-siakan.