Tuesday, October 12, 2010

PKR terima tamparan hebat menjelang pemilihan parti



Ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghitung hari untuk mengadakan pemilihan jawatan tinggi parti pada bermula 31 Oktober ini, Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tamparan hebat apabila lebih 200 orang ahlinya menyertai Umno dalam tempoh dua hari ini.

Seramai 215 orang ahli PKR Ranting Lepar Utara di Pahang menyertai Umno hari ini, sekaligus menyaksikan ranting itu dibubarkan.

Apa yang pasti, penyokong setia Anwar akan mendakwa tindakan mereka terbabit dilakukan kerana disogokan Umno wang.

Malah, ia bakal dilihat sebagai gimik lazim dilakukan Umno menjelang pilihan raya kecil DUN Galas, Kelantan pada November ini bagi menarik sokogan para pengundi.

Sebenarnya mereka sudah jemu dan muak dengan perjuangan PKR yang tidak berlandaskan kepentingan peribadi – Anwar masih menyimpan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan tindakan golongan itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim mengaitkan ia sebagai ‘rombakan besar dari segi pendirian politik di kalangan Melayu’.

“Sudah sampai masanya (PKR) menjadi satu lambangan yang boleh ditinggalkan. Sekarang sudah sampai masanya bagi PKR menyertai Umno di mana Presiden Umno dan juga Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) membuka ruang bagi semua orang seperti ini memasuki semula perjuangan asas bangsa," kata Rais yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Penyertaan ke dalam Umno oleh golongan terbabit, menurut beliau merupakan perubahan positif dalam menuju pembangunan negara.

Beliau berkata PKR seharusnya menjadikan parti Semangat 46 yang mana suatu ketika dulu dalam serba kepayahan cuba memperjuangkan agendanya tetapi akhirnya kembali menyertai perjuangan bersama-sama Umno untuk kepentingan bangsa.

"Diharapkan seruan itu dapat diterima dan kita alu-alukan warga PKR untuk memasuki Umno supaya perjuangan untuk bangsa, negara dan agama terus mencapai kejayaan,” katanya.

Satu lagi tamparan buat Anwar hari ini apabila hasrat anaknya Nurul Izzah terpaksa akur dengan keputusan akar umbi apabila gagal menempatkan diri dalam merebut jawatan Timbalan Presiden.

Anggota Parlimen Lembah Pantai itu gagal memperoleh pencalonan minimum – hanya memperolehi satu pencalonan dari cabang Keningau, Sabah.

Perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR dijangka melibatkan beberapa calon, antaranya Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, dua naib presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub dan Mohamed Azmin Ali, serta Zaid.

No comments:

Post a Comment