Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pemimpin Umno di semua peringkat supaya membuat persiapan rapi menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi memastikan Umno terus menjadi peneraju utama kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mesej jelas itu disampaikan Najib kepada perwakilan dan anggota Majlis Tertinggi Umno pada sesi taklimat tertutup presiden sempena Perhimpunan Agung Umno ke-61, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Presiden tekankan agar kita terus bersatu padu, kuatkan lagi perpaduan untuk membela rakyat dan melakukan kerja secara strategik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam situasi Umno terus bertambah kukuh," katanya kepada pemberita.
Mohd Ali berkata Perdana Menteri mahukan Umno memperkukuhkan kawasan yang telah dimenangi BN pada pilihan raya umum lepas dan bekerja kuat untuk memenangi semula kawasan yang tewas.
Ketua Penerangan Umno Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad berkata Perdana Menteri sangat mengharapkan perbalahan di kalangan pemimpin diatasi segera bagi menjadikan Umno sebuah parti yang kuat dan disenangi rakyat.
Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Presiden parti telah menekankan kepentingan berjuang dalam membela nasib kaum Melayu secara inklusif, tetapi pada masa sama, tidak meminggirkan soal kepentingan kaum lain.
"Selain daripada empat perkara yang digariskan presiden iaitu kepimpinan negara, parti, negeri dan wakil rakyat, beliau turut menggesa agar anggota Umno menggunakan pendekatan bijaksana terhadap rakyat agar kekal relevan.
"Berjuang secara inklusif, kerana selain kita memperjuangkan agenda kaum Melayu, kita tidak seharusnya meminggirkan perjuangan kaum lain, kerana Malaysia didokong rakyat berbilang kaum," katanya.
Dalam masa yang sama, Najib mahu Perhimpunan Agung Umno 2010 menjadi titik permulaan kepada budaya dan model baru politik Umno untuk lebih terbuka dan lebih inklusif.
Perdana Menteri berkata perhimpunan kali ini, selepas setahun Perlembagaan Umno dipinda, perlu disusuli dengan perubahan daripada segi budaya dan tindakan seluruh anggota parti.
"Peranan parti diakar umbi mesti bersifat inklusif dan dapat menunjukkan imej yang disenangi rakyat (dan) sentiasa dekat di hati rakyat (melalui) pelbagai aktiviti, dan kita dapat tunjukkan Umno merupakan pemudah cara dan pelopor kepada segala kegiatan di akar umbi," katanya.
Dalam taklimatnya selama sejam itu, Najib berkata beliau menekankan cabaran-cabaran yang dilalui parti dan usaha pemulihan ekonomi negara yang telah berjaya ditangani.
Ditanya mengenai penerimaan anggota Umno terhadap usaha transformasi parti itu, Presiden Umno berkata perkara itu akan mengambil masa kerana ia melibatkan perubahan dalam diri anggota sendiri.
"Transformasi manusia memakan masa, transformasi fizikal mudah. Semua orang tahu transformasi manusia suatu yang amat mencabar, tetapi kita akan cuba melakukannya.
Saya melihat ada yang respons, dan ada yang memakan masa lagi untuk menghayati sepenuhnya (transformasi itu).
"Tapi (kita) jangan kecewa sebab kita berurusan dengan manusia, dan manusia, tentu sekali amat mencabar untuk melakukan perubahan besar dalam masa yang singkat," katanya.
No comments:
Post a Comment