Thursday, October 21, 2010

Perhimpunan Agung Umno 2010 - Model politik dan budaya baru Umno



Perhimpunan Agung Umno 2010, yang akan dirasmikan Presiden parti itu Datuk Seri Najib Tun Razak esok, bakal memperlihatkan kepada budaya dan model politik baru Umno untuk lebih terbuka dan inklusif.

Selepas setahun Perlembagaan Umno dipinda, perhimpunan yang disertai 4,907 perwakilan kali ini bakal diisi dengan perubahan daripada segi budaya untuk tindakan seluruh anggota parti.


Malah, dalam ucapan dasar ketiga-tiga pemimpin sayap parti terdiri Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, mereka tegas menekankan mengenai cabaran-cabaran dan transformasi yang perlu dilalui anggota parti.

Walaupun cabaran dan transformasi itu sudah pastinya mengambil masa yang lama, namun Umno perlu bergerak di landasan perjuangan model politik baru yang diilhamkan Najib bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti unggul peneraju negara.

Selepas 64 tahun, perjuangan Umno tidak boleh lagi berkisar kepada pertembungan kuasa semata-mata tetapi ke arah persaingan minda dan pertempuran idea seperti saranan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya ketika merasmikan Perhimpunan Agung pergerakan itu di PWTC.

Menurutnya transformasi politik perlu dilaksanakan dengan serta-merta demi menjamin Umno diterima anggota parti serta rakyat Malaysia.

Khairy berkata antara transformasi politik yang perlu dibuat anggota Umno adalah politik yang berteraskan pemikiran serta idea dan gelanggang politik semasa tidak lagi memberi ruang kepada pertembungan kuasa semata-mata tetapi juga persaingan minda dan pertempuran idea.

Suka tak suka, katanya, pihak yang mencabar ideologi politik Umno perlu didepani di pentas politik yang bertunjangkan ilmu supaya "mereka dapat kita tewaskan dengan kekuatan hujah dan ketajaman intelek, bukannya bergantung kepada kuasa eksekutif semata-mata".

Sebagai parti gerakan massa, Umno juga perlu melihat kepada cadangan bahawa sememangnya parti itu memerlukan penglibatan besar daripada anak-anak muda di peringkat akar umbi kerana pertimbangan politik generasi muda amat kritikal sekarang.

Pemimpin dan anggota Umno perlu memikirkan kaedah dan pendekatan yang berkesan untuk menarik golongan muda menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, kira-kira 80 peratus atau hampir tiga juta daripada pengundi baru pada pilihan raya umum akan datang terdiri daripada pengundi muda. Peratus undian mereka dijangka naik daripada 41 peratus pada pilihan raya umum ke-12 kepada 49 peratus pada pilihan raya umum ke-13.

Umno juga, tidak dapat tidak, perlu berubah selari dengan kebangkitan ledakan teknologi maklumat, secara khusus iaitu menggunakan laman web sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai alternatif kepada media massa tradisional, dalam menyalurkan maklumat kepada golongan muda.

Justeru, usaha mendampingi kumpulan muda juga mesti melalui pendekatan berpaksikan pemikiran dan pandangan yang lebih kritis daripada era dahulu dan Umno tidak boleh menyumbat mereka dengan propaganda berat sebelah.

Saranan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga perlu dilihat dengan lebih serius oleh anggota Umno kerana sebagai parti teras Barisan Nasional, Umno perlu berjuang untuk memenangi hati pengundi muda serta semua kaum dan agama di negara ini.

Keperluan untuk menukar minda juga turut disentuh oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam ucapan dasarnya apabila meminta Puteri menjadi perintis trend dan bukan pengikut agar perjuangan sayap Umno dapat diterima generasi muda.

Katanya Puteri amat bersetuju bahawa setiap pihak perlu berubah dan memperkasakan politik sesuai dengan lanskap politik semasa.

"Ini dapat memberi landasan yang lebih jelas tentang hala tuju yang bersifat praktikal dan pragmatik dengan mengekalkan roh serta semangat perjuangan tokoh-tokoh terdahulu, berteraskan tuntutan akar umbi dan dalam masa yang sama mengasimilasikan gagasan 1Malaysia," katanya.
 

No comments:

Post a Comment