Thursday, October 21, 2010

Perhimpunan Agung Umno 2010 - Anggota Umno capai 3,528,925 orang



Keahlian Umno mencecah 3,528,925 orang sehingga semalam dengan bilangan cawangan sebanyak 20,342 diwujudkan di seluruh negara.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika membentangkan laporan parti pada Perhimpunan Agung Umno ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini memaklumkan Johor mencatat bilangan anggota teramai iaitu 493,495 orang.

Katanya bahagian Umno yang mencatat jumlah anggota tertinggi masih lagi Bahagian Kemaman, Terengganu dengan 42,455 ahli, dan daripada segi cawangan, Cawangan Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor masih merupakan cawangan yang mempunyai anggota paling ramai.

Tengku Adnan memaklumkan pelbagai cara telah dilaksana bagi memperkasakan Umno dan memastikan Umno terus kukuh, termasuk mengadakan kursus-kursus latihan untuk para anggota dari semasa ke semasa dalam semua peringkat.


Sejak persidangan terakhir Umno Oktober tahun lalu, sebanyak 19 kursus diadakan untuk petugas dalaman ibu pejabat Umno dan 164 kursus lagi melibatkan bahagian, penerangan dan latihan telah diadakan, katanya.

Beliau berkata semua Bahagian dan Cawangan Umno telah diminta untuk melaksanakan pemilihan keahlian masing-masing bermula 15 Januari hingga 15 April lalu bagi menentukan kaedah kemasukan anggota Umno dilakukan dengan telus.

"Walau bagaimanapun memandangkan berlaku kerumitan dalam proses tersebut pihak Jawatankuasa Pengurusan bersetuju untuk menerima sebarang bantahan atau pembetulan," katanya.
 

No comments:

Post a Comment