Saturday, October 23, 2010

Perhimpunan Agung UMNO 2010 - Najib cabar Melayu bina keupayaan dengan hak yang ada




KUALA LUMPUR 21 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencabar orang Melayu supaya terus gigih mempersiapsiagakan diri membina keupayaan dan kemampuan dengan memanfaatkan hak yang ada.


Menegaskan amat mustahaknya Melayu alaf ke-3 dan abad ke-21 dipersediakan untuk eranya, Presiden UMNO berkata, tiada gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan.


Dalam ucapan dasar bertajuk Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran itu, beliau secara serius menarik perhatian bahawa 'apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.'

Najib mengingatkan bahawa pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran dengan siapa yang berilmu dan menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran.

"Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. 

"Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu, seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu, seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu, mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa,'' kata beliau.

Sejumlah 2,543 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tersebut.

Najib berkata, sebagai Presiden UMNO, beliau tidak mahu menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun.

"Saya beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta dan berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.

"Janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya,'' kata beliau.

Serentak itu, Presiden UMNO menegaskan, ahli UMNO tidak boleh hilang harapan dan gundah-gulana.

''Kita sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah,'' katanya.

Justeru, tegas beliau, demi membina masa depan dan terus mendaya bangsa, UMNO harus melalui tiga fasa pemulihan. 

''Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan- kekurangan itu. 

''Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya,'' kata beliau.

Kata Najib, UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. 

''Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau,'' kata beliau.
 

No comments:

Post a Comment