Saturday, October 9, 2010

Kerajaan Pakatan di Sarawak sekadar mimpi.


Tidak salah meletakkan keyakinan tinggi meskipun tahu keputusan pilihan raya Sarawak kesepuluh adalah satu perkara mustahil menyaksikan Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya membentuk kerajaan negeri menggantikan Barisan Nasional (BN).

Keyakinan dikaitkan apabila pihak terbabit cuba memujuk agar mereka tidak tewas secara saraf sebelum tiba di medan pertempuran. Tidak salah.

Pakatan di Sarawak yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) amat yakin gelombang perubahan dalam pegangan politik rakyat Sarawak akan berlaku pada pilihan raya negeri kali ini - susulan Tsunami yang dicapai mereka pada pilihan raya umum 2008.

Tidak mudah untuk menumbangkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasan majoriti Bumiputera. Begitu juga di kawasan majoriti Bumiputera yang diperuntukkan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Pertama, masalah Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) merupakan lumrah biasa setiap menjelang pilihan raya di Sarawak. Keberkesanan isu itu cuma di kalangan pengundi muda yang mempunyai pendidikan.

Belum ramai golongan terbabit di Sarawak.

Meskipun Pakatan sering menggembar-gemburkan isu NCR, kerajaan juga usah dilupa kebijaksanaan mereka dalam memulangkan paku buah keras kepada pembangkang.

Program pembangunan NCR menerusi konsep kerjasama antara syarikat perladangan kelapa sawit dan pemilik tanah, memang tidak dapat dinafikan berjaya menambat hati orang kampung.

Baru-baru ini juga kerja-kerja menyukat sempadan NCR di seluruh negeri telah dilaksanakan.

Ini adalah untuk menyelesaikan isu NCR yang digeruni Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin bakal membawa kekalahan BN di Sarawak.

Sarawak dan Sabah disifatkan Najib sebagai deposit BN. Lantas beliau dalam satu majlis di Miri mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk melaksanakan kerja-kerja menyukat sempadan NCR.

Apabila selesai kerja menyukar sempadan, ia disusuli dengan pemberian surat hak milik tanah.

Sungguhpun tidak selesai dalam masa terdekat, rakyat terutama golongan Dayak yang ramai memiliki NCR pasti gembira dengan permulaan awal untuk mereka mendapatkan hak warisan bapa atau nenek-moyang mereka.

Kedua, menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu pada Mei lepas, kerajaan mengumumkan kadar baru bayaran sewa tanah.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata di bawah kategori kediaman, kadar untuk rumah teres ialah RM1,000 seunit, rumah berkembar RM3,000 seunit, rumah sesebuah RM6,000 seunit.

Manakala bagi kategori komersial di bandar utama ialah RM40,000 seunit, bandar sekunder RM20,000 seunit, luar bandar RM10,000 seunit.

Untuk pajakan tanah kategori pertanian di kawasan bandar, kadar ditetapkan ialah RM5,000 seekar, di pinggir bandar ialah RM2,500 seekar dan tanah desa ialah RM200 seekar.

Pengumuman itu bagaimanapun gagal memberi kemenangan kepada Robert Lau Hui Yew (SUPP-BN) yang tewas kepada Wong Ho Leng (DAP).

Bagaimanapun, ia dilihat sebagai 'pelaburan modal' jangka panjang BN, terutama bagi SUPP yang amat memerlukan sokongan para pemegang hartanah dari kalangan kaum Cina untuk kekal relevan dalam politik Sarawak.

SUPP pernah sebelum ini dikaitkan dengan isu untuk keluar dari BN Negeri. Ia disanggah oleh Presidennya, Datuk Patinggi Dr George Chan.

Pada pilihan raya negeri 2006, SUPP menerima tamparan hebat apabila kecundang di lapan kerusi daripada 19 ditandingi - para pengundi Cina menggambarkan SUPP tidak mampu membela nasib mereka.

Dalam pada itu, PBB dan SPDP menang seratus peratus, masing di 35 dan lapan kerusi yang ditandingi.

PRS pula tewas satu kerusi, menjadikan lapan kerusi dikuasai mereka dalam Dewan.

Dewan Sarawak mempunyai 71 kerusi.

DAP menang enam kerusi, PKR (satu), SNAP (kini Bebas) (satu) dan Bebas (kini Parti Cinta Malaysia) juga (satu).

Pakatan, untuk membolehkan mereka menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya negeri nanti, tidak akan membenarkan wujud pertembungan di kalangan sesama mereka.

Ini adalah untuk meningkatkan peluang untuk menang jika berdepan calon BN dalam pertandingan satu-lawan-satu.

Mereka turut memberi jaminan untuk meletakkan semua calon di semua kerusi dan cuba mengelakkan memberi kemenangan tanpa bertanding terhadap calon BN.

Pakatan harus akur, para pengundi di Sarawak bukan majoriti pandai menggunakan komputer dilengkapi internet. Mereka pengundi golongan generasi lama.

BN tetap menang di Sarawak dengan syarat wakil-wakil rakyat yang gagal melaksanakan tugasan disingkirkan.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadilah Yusuf adalah contoh terbaik yang patut dicontohi oleh wakil rakyat di Sarawak.


No comments:

Post a Comment