Tuesday, October 19, 2010

Perhimpunan Agung Umno 2010 - Bahas di perhimpunan Umno perlu hemah dan tanggungjawab

Antara yang disampaikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada para pencadang, penyokong dan pembahas usul Perhimpunan Umno 2010 dalam taklimat tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini ialah ingatan bahawa mereka dibenarkan meluahkan keresahan akar umbi, namun ia harus dibuat dengan berhemah dan bertanggungjawab.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika merujuk kepada taklimat tertutup Muhyiddin selama hampir sejam di Restoran Riverside PWTC itu berkata, walaupun Muhyiddin memberi kelonggaran kepada mereka untuk meluahkan pandangan akar umbi, tetapi mereka perlu mengupasnya dengan bijak dan bertanggungjawab.

"Diharapkan jurucakap kita nanti dapat mengupas perbahasan ini dengan bijak supaya tidak terperangkap dengan mereka yang sentiasa cuba mengintai dan mengeksploitasikan keadaan," katanya.

Tiga usul akan dibahaskan oleh tiga sayap Umno esok iaitu ucapan ketua pergerakan masing-masing; usul ekonomi; serta usul pendidikan dan agama; sementara perhimpunan Umno yang akan bermula pada Khamis ini pula membahaskan ucapan dasar Presiden, usul ekonomi serta usul pendidikan dan agama.

Hishammuddin, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Usul Umno berkata para pencadang, penyokong dan pembahas usul mestilah berhujah bersandarkan kepada apa
yang nyata.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Muhyiddin juga turut menekanan aspek berhujah secara berhemah di kalangan pembahas.
"Memandangkan Perhimpunan Agung Umno turut mendapat liputan media asing, pembahas perlu berhujah secara bijaksana supaya tidak menyakiti hati mana-mana pihak," katanya.

"Hujah membela orang Melayu tetap perlu diteruskan, tetapi cara berhujah, cara memberi pandangan itu mestilah dengan cara berhemah, jangan sampai menyakiti hati orang," tambahnya.

Beliau berkata pembahas boleh bercakap apa yang dirasakan sesuai, tetapi perlu berfikir mengenai tanggapan di luar yang mungkin melihatnya sebagai satu isu, dan Umno tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Sementara itu Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim pula berkata, medan perbahasan tidak boleh dijadikan sebagai gelanggang melepas geram dan emosi oleh para perwakilan, sebaliknya pembahas perlu berbahas kepada perkara yang benar dan mempunyai fakta tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dalam negara.

"Menyembunyikan fakta hanya untuk menyedapkan hati orang lain, tidak akan menguntungkan parti, itu dipanggil menipu diri sendiri. Umno tidak pernah mengenepikan sesiapa atau pun mengelirukan orang lain bahkan bukan bertujuan untuk menipu, sebaliknya berkata perkara benar walaupun pahit dan tidak berniat menyentuh mana-mana pihak," katanya.

Sehubungan itu Razali meminta para pembahas supaya menggunakan medan perbahasan sebaik mungkin bagi membolehkan parti mencapai resolusi terbaik dengan mengambil kira kepentingan seluruh rakyat dan negara.

Bagi Pengerusi Tetap Umno Datuk Paduka Badruldin Amiruldin, taklimat itu adalah penting bagi mengingatkan para pembahas supaya berbahas mengikut garis panduan yang ditetapkan parti.

"Kita boleh vokal, cumanya janganlah menghina orang, jangan mengkritik keterlaluan. Kita manusia ada perasaan dan perlu kawal diri supaya sejajar dengan kehendak Islam. Agama Islam menyuruh kita sederhana, bermuafakat dan menunjukkan tauladan yang terbaik. Jadi ini semua kena perlu dirangkumi dalam cara membahas," katanya.

Katanya pembahas juga dinasihatkan supaya tidak membahaskan perkara lain yang diluar daripada tiga usul utama iaitu ucapan dasar presiden, usul ekonomi serta usul agama dan pendidikan.

"Jurucakap (pembahas) yang ada ini semua jurucakap yang berpengalaman dan ia memudahkan bagi saya mengawal mereka bercakap. Jadi mereka ini kena tumpu kepada usul utama dan kalau mereka menyeleweng daripada usul pokok itu, maknanya masa dia akan terbuang," katanya. 
 

No comments:

Post a Comment