Wednesday, October 20, 2010

Perhimpunan Agung Umno 2010 - Umno TIDAK PERLU 'APOLOGETIK'

Umno tidak perlu bersikap apologetik dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu serta Bumiputera kerana sejarah membuktikan bahawa sepanjang negara dipimpin oleh parti Melayu terbesar itu, bukan sahaja orang Melayu mendapat nikmat malah semua kaum beroleh manfaat.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno yang kini mempunyai kira-kira 3.4 juta anggota, juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, malah anggota parti seharusnya bangga menjadi Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana Umno berlaku adil kepada semua.

"Ukuran sebenar kemuliaan seorang insan bukanlah ketaksuban kepada bangsanya, tetapi ketakwaan kepada Allah, dan sesungguhnya, berlaku adil kepada semua adalah tanda ketakwaan bagi orang yang beriman," katanya.

Beliau berkata demikain ketika berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap Umno -- Wanita, Pemuda dan Puteri yang bertemakan "Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Umno juga tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

"Umno tidak akan ragu-ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi (negara) yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera.

"Namun, saya tegaskan bahawa dimensi baru tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu," katanya.

Beliau berkata peluang-peluang ekonomi juga akan terbuka luas buat mereka yang gigih berusaha, sebaliknya tiada tempat bagi pengamal "rent-seeking" yang haloba dan ingin mengaut laba yang sementara.

Muhyiddin berkata politik berasaskan kaum bukan satu bentuk politik perkauman atau politik rasis, malahan Umno sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, dan pada masa yang sama sentiasa menghormati hak serta kepentingan kaum-kaum lain dalam negara.

"Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ia zalim kepada kaum lain.

"Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan Umno, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis," katanya.

Beliau berkata pemimpin Umno sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain sebenarnya jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan terutama dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Muhyiddin berkata kejayaan Malaysia selama ini membuktikan andaian pelbagai pihak meleset apabila sejurus selepas negara merdeka, mereka meramalkan negara akan hancur akibat kepelbagaian kaum, agama dan taraf ekonomi.

"Berkat kepimpinan Umno yang dinamik dan toleran, ramalan buruk ini tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, negara-negara jiran yang tidak semajmuk kita mengalami dan masih mengalami ketegangan kaum dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah," katanya.
 

No comments:

Post a Comment