Tuesday, October 12, 2010

Ku Li, Umno dan Galas


Sejak dua minggu lalu, Tengku Razaleigh Hamzah kembali mendapat perhatian dalam arena politik khususnya di kalangan ahli Umno.

Tetapi dalam pada itu beliau memberi mesej pelantikan beliau sebagai pengarah jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Galas tidak akan mengubah pendiriannya selama ini lantang bersuara membabitkan kepentingan partinya dan juga kerajaan.

Ahli Parlimen Gua Musang sejak 1969 ini menegaskan, beliau sama sekali tidak dan tidak akan menggadai prinsip dan pendirian dalam mengutarakan perbezaan pendapatnya hanya kerana jawatan pengarah pilihan raya.

Kata Tengku Razaleigh, beliau sentiasa mengutamakan prinsip sedemikian dalam kerjaya politiknya sejak dari dahulu lagi, bukannya hanya sejak kebelakangan ini.
Oleh itu jelasnya, beliau menerima pelantikan sebagai pengarah jentera BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas kerana merasakan mempunyai tanggungjawab demi penduduk bahagian tersebut dan selaku seorang ahli Umno yang setia kepada parti.

Tengku Razaleigh memberitahu beliau tidak rasa tertekan ataupun berada dalam dilema kerana jawatan pengarah jentera.

Musuh-kawan dalam arena politik berubah mengikut hari, kata Ku Li.

“Saya merasakan tanggungjawab saya kepada pengundi-pengundi saya di sana, saya pernah berkhidmat di sana sebelum menjadi Ahli Parlimen Gua Musang.

“Saya merasakan terhutang budi untuk menjaga kawasan saya. Itu sahaja.

“Tiada dilema. Saya pasti saya akan memperoleh segala sokongan yang saya harapkan,” tegas Tengku Razaleigh.

Ahli politik veteran ini berkata, beliau menerima jawatan pengarah pilihan raya kerana beliau masih merupakan ahli Umno yang setia dan secara semula jadi mahukan partinya memenangi kerusi Galas.

Buat pertama kali kerusi tersebut dimenangi PAS iaitu pada 8 Mac lalu.

“Akhirnya, ia adalah pilihan raya kecil. Akan ada pihak yang menang dan juga pihak yang kalah,” kata Tengku Razaleigh.

Tengku Razaeligh yang terkenal dengan panggilan mesra “Ku Li”, bukan asing dalam kontroversi dalam partinya sendiri, lebih-lebih lagi beliau kelihatan tidak popular di kalangan ahli-ahli dan pemimpin Umno sejak awal tahun ini.

Bukan sahaja sesetengah ahli dan pemimpin Umno menyisihkan beliau termasuk ketika berusaha untuk mendapatkan pencalonan bertanding jawatan tertinggi pada pemilihan-pemilihan lalu, malah tidak mendapat ruang dalam media.

Pada Februari lalu, Tengku Razaleigh berhadapan dengan kritikan pedas daripada pelbagai pihak dalam Umno yang meminta tindakan disiplin dikenakan ekoran pendirian beliau isu tuntutan royalti minyak khususnya yang dibawa kerajaan negeri Kelantan PAS.

Kes itu difailkan pada 30 Ogos lalu.

Pandangan itu turut datang daripada kalangan pemimpin Umno Kelantan dengan ada yang menggesa agar dikenakan tindakan disiplin ke atas Tengku Razaleigh, tetapi beliau terus mempertahankan pendiriannya.

Majlis Tertinggi Umno pula menyerahkan kepada ahli-ahlinya memutuskan tindakan ke atas beliau dan difahamkan ramai tidak bersetuju diambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh.

Apabila diminta mengulas perubahan hati di kalangan pemimpin Umno sejak beberapa hari lalu serta mesej dan hikmah di sebaliknya, Tengku Razaleigh hanya ketawa dan menggeleng kepala.

“Inilah politik di Malaysia… satu hari anda kawan, hari esok anda jadi musuh, dan anda kembali menjadi kawan hari kemudian,” kata anggota kerabat Kelantan ini.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh menekankan, pendirian dan prinsip beliau terhadap Umno dan juga kerajaan BN kekal sama tanpa sebarang perubahan meskipun dilantik sebagai pengarah pilihan raya.

“Tidak bermakna bahawa saya akan berubah dalam memberikan pandangan saya. Saya masih kekal dengan itu.

“Saya akan terus mengeluarkan pandangan tidak bersetuju saya ke atas pemimpin kerajaan dan terhadap sesetengah dasar (parti dan kerajaan) yang saya tidak bersetuju.

“Saya tidak akan menggadai prinsip saya (semata-mata) untuk menjadi pengarah pilihan raya, malah saya juga tidak akan menggadai hanya kerana (apa jua) jawatan paling tinggi di muka bumi ini,” kata beliau.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh juga menolak spekulasi bahawa pelantikan beliau sebagai pengarah pilihan raya BN di Galas bertujuan melemahkan atau melenyapkan kritikan beliau yang lazimnya lantang mengutarakan pandangan terhadap Umno, BN dan pentadbiran mereka.

Sambil menambah Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sedar tentang pendiriannya berhubung sesetengah dasar kerajaan dan isu, Ketua Umno Gua Musang ini berkata, beliau tidak meletakkan apa-apa syarat apabila menerima pelantikannya mengetuai jentera pilihan raya DUN Galas.

“Tidak, tidak ada syarat (saya letakkan),” katanya.

“Beliau (Najib) tahu apa pendirian saya. Tidak perlu bagi saya mengulangi. Saya mempunyai pendirian tegas dalam sesetengah isu dan beliau tahu mengenainya… berhubung isu royalti minyak sebagai contoh, Najib pernah bekerja di bawah saya di Petronas, beliau tahu bagaimana saya merasakan,” kata Tengku Razaleigh yang turut mengakui beliau terkejut dengan pelantikan ini.

Katanya, Timblan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menghubungi beliau ketika berada di London minggu lalu.

“Saya terkejut (dengan keputusan melantik) dan saya meminta mereka lantik orang lain, tetapi mereka mengatakan bahawa parti merasakan saya orang paling sesuai,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, sebenarnya beliau ada meminta masa untuk bercakap dengan ahli-ahli akar umbi sebelum boleh mengatakan pendirian mengenai pelantikan tersebut.

Muhyiddin masih berada di Australia.

Tengku Razaleigh dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin hari ini selepas beliau pulang dari lawatan ke Australia.

Selepas pertemuan itu beliau akan ke Gua Musang untuk mengatur persiapan menghadapi pilihan raya kecil.

Tengku Razaleigh yang kembali ke tanah air Sabtu lalu telah mengadakan pertemuan dengan Najib yang juga Pengerusi BN di bangunan Parlimen semalam dan menerima surat pelantikan secara rasmi sebagai pengarah jentara pilihan raya BN.

Kali terakhir kedua-dua mereka bersemuka adalah tahun lalu.

Pentadbiran Najib berulang kali menekankan bahawa Kelantan, negeri keempat termiskin, tiada hak untuk mendapatkan royalti memandangkan minyak dihasilkan di kawasan luar pesisir pantai dan ia membabitkan kawasan pembangunan bersama dengan Thailand.

Tengku Razaleigh yang mengasaskan Petronas pada 1974 tidak bersetuju dengan pendirian Putrjaya itu.

Selain isu itu, Tengku Razaleigh, pengerusi pertama Petronas, juga lantang mengkritik Umno, yang memperlihatkan prestasi kurang memuaskan bersama sebahagian besar parti komponen BN pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Dalam pertemuan kali ini, beliau memberitahu, Umno sudah jauh daripada fungsi dan peranan asal yang pernah dimainkan ketika pimpinan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn — masing-masing perdana menteri perdana, kedua dan ketiga.

Pada Julai lalu, beliau juga mengesyorkan agar Umno dan BN menjadi sebuah parti pelbagai kaum menerusi keanggotaan secara langsung.

Najib sebelum ini memberitahu bahawa perkara itu akan dibincangkan ketika persidangan BN akhir tahun ini.

“Saya sudah pun memberikan cadangan saya, perlu ada pembaharuan menyeluruh. Dari segi struktur, Umno mesti berubah dan meminda perlembagaannya untuk menjadi lebih terbuka.

“Umno di bawah Tun Razak dan Tun Hussein Onn sangat diminati dan dihormati. Perjuangan Umno (sekarang) seharusnya berasaskan Umno yang lama — keadilan dan saksama, tidak bersifat melihat diri ke dalam (semata-mata),” katanya lagi.

Meskipun dilihat sebagai orang lama di Gua Musang, Tengku Razaleigh berhati-hati apabila bercakap mengenai peluang kemenangan di Galas.

Katanya, meskipun adalah penting bagi Umno memenangi kerusi itu, ia tidak akan membawa apa-apa perbezaan jika Umno memenangi kerusi tersebut.

“Saya boleh kata Galas adalah penting bagi BN memandangkan ia adalah kerusi berada di kawasan majoriti orang Melayu.

“Umno mahu memastikan ia mendapat sokongan daripada orang Melayu sebab ia telah kehilngan sokongan di Kedah, dan juga Kelantan,” katanya.

“Tetapi, pada masa yang sama juga saya boleh katakan tidak. Ia tidak membawa apa-apa perbezaan jika Umno menang ataupun kalah kerana ia tidak akan mengubah kedudukan kerusi di Kelantan. Anda mendapat satu lagi kerusi, anda cuma menambah (sedikit) suara kecil di dewan yang dikuasai PAS.

“Begitu juga, jika PAS memenangi kerusi itu, ia tidak akan membawa sebarang kelainan kepada mereka,” katanya lagi.

Muhyiddin yang pernah mengulas pendirian Tengku Razaleigh berhubung isu minyak dan idea pembentukan kokus oleh Pakatan Rakyat dengan menjemput Tengku Razaleigh sebagai ketua, menyambut baik pendirian wakil rakyat Gua Musang ini menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya kecil dengan menyifatkannya satu perkembangan yang baik.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu, BN dapat membentuk sebuah pasukan yang boleh bekerja keras bagi menentukan kejayaan calon BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Galas manakala penamaan calon pula pada 26 Oktober.

Pilihan raya kecil ke-12 ini diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima pada 27 September akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi. – The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment